Thursday 31 May 2012

KEK OREN, BERKISMIS DAN CHOCOLATE GANACHE

Assalamu'alaikum.

Hari ini dapat off.  Makanya tidak perlu ke sekolah.  Semalam selepas kelas mengaji, saya sempat buat kek.  Teringat, 1 Jun, hari lahir salah seorang sahabat karib saya.  

Kalau hendak dibawa ke sekolah, takut kecoh pula.  Lantas, saya rancang untuk berikan kepada beliau sehari sebelum tarikh hari lahirnya.

Sebenarnya resipi ini adalah daripada Ina Garten, rancangan Barefoot Contessa.  Namun di dalam rancangan tersebut, Ina Garten mengajar dengan sukatan untuk enam hingga 8 kek kecil (bergantung pada acuan anda).  

Dan asal nama dan resipi kek ini juga ada lain sedikit. Ianya bernama Orange Chocolate Chunk Cake.  Tetapi beberapa hari yang lepas, saya telah melungsuri internet saya ketemu dengan seorang peminat Ina Garten.  Dia telah menyusun semula adunan ini dan menjadikannya satu adunan kek besar.



Tambahan pula, saya tidak bubuh chocolate chunk di dalamnya.  Saya tukar dengan kismis.  Saya bimbang jika saya bubuh choccolate chunks, ianya akan jadi muak.

Dia menggunakan acuan kek "turban mould cake tin".  Saya pula, memang baru saja membeli acuan yang begitu, Ahad lalu di Metro.  Maklumlah, Metro sedang menwarkan diskaun 20%!



Alangkah gembiranya hati saya bertemu dengan resipi ini.  

Maka malam semalam saya telah membuat keknya.  Alhamdulillah, dalam jam 1, sabahat saya datang dengan kereta untuk mengambilnya.  Semoga dia suka dan dapat menikmatinya bersama-sama keluarganya.

Bahan-bahannya:

227 gram "unsalted" butter.  Pastikan butter anda adalah di dalam suhu bilik.  Oh ya, seperti biasa saya gunakan butter Anchor.

2 cawan gula (saya gunakan gula caster)

4 biji telur ayam yang besar

1/4 cawan parutan kulit buah oren (daripada 4 biji buah oren yang besar)

3 cawan tepung gandum 

1/2 sudu teh baking powder

1/2 sudu teh bicarbonate soda

1 sudu teh garam

1/2 cawan jus oren yang baharu diperah.

3/4 cawan buttermilk (ini anda boleh beli di Cold Storage atau Mustaffa)

2 sudu teh essen vanilla

1 cawan kismis

Anda sekalian, sukatan yang saya gunakan di dalam semua resipi-resipi yang saya kongsi adalah menggunakan "measuring spoons" dan "measuring cups".  Bukan sudu dan cawan biasa yang kita gunakan harian.  Maklumat ini bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan baking.  Manalah tau, anda tidak tahu, adan gunakan sudi dan cawan harian.... Ukurannya tidak sama.



Cara-cara membuatnya:

Panaskan ketuhan pada suh 175 darjah selsius.

Sapukan butter pada acuan kek.  Kemudian taburkan tepung.

Masukkan butter dan gula di dalam mesin pemukul telur dan putar selama 5 minat.  INGAT, gunakan paddle attachement, bukan pemutar untuk telur.





Setelah butter dan gula kelihatan ringan dan halus, masukkan telur satu-persatu.  Kemudian masukkan parutan kulit oren.

Di dalam sebuah mangkuk besar lain, ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam.  

Di dalam sebuah mangkuk lain pula, campurkan buttermilk, perahan jus oren dan vanilla.

Di bekas yang lain, campurkan kismis berserta dua sudu makan tepung.  Ramas-ramas hingga kismis bersalut tepung.  Ini adalah untuk mengelakkan kismis tenggelam ke bawah semasa di bakar dalam ketuhar.

Putarkan pemukul telur dengan perlahan.  Masukkan 1/3 tepung.  

Kemudian, diikuti oleh separuh adunan buttermilk.

Kemudian sebahgian tepung.

Kemudian semua bahagian buttermilk.

Kemudian lebihan bahagian tepung.  Pastikan yang terakhir adalah bahagian tepung.

Kemudian masukkan kismis yang telah disalut tepung.

Tuangkan adunan ke dalam acuan kek yang telah disapu dengan mentega dan taburan tepung.

Bakar selama 45 minit hingga 1 jam.  Atau hingga masak.  Pastikan semasa anda memeriksanya dengan mencucuk lidi ke dalam kek, apabila ditarik, lidi tidak basah.

Setelah masak, keluarkan dan sejukkan.  Tunggu 10 minit.

Terbalikkan kek dan letak di atas dulang yang berlulang.



Bahan untuk sirap oren:

1/2 cawan gula
1 cawan jus oren segar.

Masak kesemua bahan ini dalam periuk kecil.  Jangan sampai mendidih.  Hanya panas dan apabila telah kelihatan asap dan pastikan gulanya telah pun betul-betul larut, matikan api.

Siralah jus oren ini ke atas kek semasa ia panas lagi.



Bahan-bahan untuk Chocolate Ganache

227 gram chocolate chip

1/2 cawan heavy cream

1 sudu teh serbuk kopi segera

Masak dengan menggunakan double boil.  




Semasa proses ini, pastikan mangkuk anda tidak terkena air yang sedang mendidih.

Setelah chocolate semua larut, angkat mangkuk kaca.

Sejukkan.  Setelah itu, sira ke atas kek.  Jangan disalut. Tapi disira.

Kek ini enak dihidangkan pada hari anda membuatnya.  

Semoga anda berjaya mencubanya.

Wassalam.









SELAMAT HARI LAHIR CIKGU ISKANDAR!

Monday 28 May 2012

ECLAIR

Assalamu'alaikum


Saya tidak ada banyak sangat cerita latar tentang Eclair ni.  Cuma, saya belum pernah terjumpa sesiapa yang tidak suka makan Eclair.


Apakah itu Eclair?

Menurut Wikepedia : An éclair is an oblong pastry made with choux dough filled with a cream and topped with icing.
The dough, which is the same as that used for profiterole, is typically piped into an oblong shape with a pastry bag and baked until it is crisp and hollow inside. Once cool, the pastry then is filled with a coffee- or chocolate-flavoured[1] pastry cream (crème pâtissière), custardwhipped cream, or chiboust cream; and iced with fondant icing.[1] Other fillings includepistachio- and rum-flavoured custard, fruit-flavoured fillings, or chestnut purée. The icing is sometimes caramel, in which case the dessert may be called a bâton de Jacob

Ah, sudah jelaskan?
Saya suka makan Eclair ni.  Cuma kalau hendak beli, memang harganya agak mahal.  Kaau yang murah, tidak sedap.

Oleh kerana saya sudah ada resipi Custard Puff, saya amati rasanya.  Kemudian saya cuba gunakan Puff itu, untuk dibuat Eclair.

Cuma kali ini saya tidak gunakan sudu untuk membentuk puff.   Saya gunakan plastik pembungkus makanan, dan digunting bucunya, macam yang saya gunakan untuk masukkan custard ke dalam puff.
Kemudian bentuknya adalah memanjang.
Kepada yang malas hendak melihat resipi puff, sekali lagi saya letakkan di bawah ini.


Bahan-bahan untuk membuat puff:

250 ml air.

150 gm butter unsalted.

125 gm tepung gandum.

4 biji telur yang besar.

Sedikit garam.  (Jangan banyak sangat. Takut puff terlalu masin, tidak enak).


Mula-mula masukkan air, butter dan garam ke dalam periuk atau kuali.  Saya gunakan non-stick.  Didihkan air itu dengan api yang agak besar.  

Apabila butter dan garam telah larut dan air sudah betul-betul mendidih, perlahankan api, kecil sekali.  

Masukkan tepung dan terus kacau menggunakan senduk kayu.  Kacau dan kacau hingga adunan menjadi seperti bola.  Ini lebih kurang dalam 1 minit.  Kemudian, matikan api.

Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah selsius.

Rehatkan dalam 3 minit dan masukkan ke dalam mangkuk pemukul telur.  Jangan gunakan besi untuk memukul telur.  Gunakan paddle, yang digunakan untuk memukul butter dan gula. 

Jika anda gunakan hand egg beater, masukkan ke dalam mangkuk besar pun boleh.

Putarkan egg beater pada had laju sederhada. Masukkan telur satu persatu.  Putar hingga sebati.  Jangan takut jika ada asap sikit, sebab masih panas.

Adunan akan pekat dan melekat pada mangkuk egg beater.  Gunakan sudip plastik dan pastikan semua bersatu.


Kali ini tidak boleh gunakan sudu untuk membentuk.  

Jika anda ada piping bag, anda bolehlah masukkan adunan ke dalam piping bag dan bentukkan ikut saiz yang anda suka.


Saya hanya gunakan plastik pembungkus makanan.  Gunting bucunya.  Tekan perlahan-lahan, dan suakan ke arah dulang.


Bentuk memanjang.  Saiz, terpulang pada anda.  Seperti biasa, saya suka bite size.


Bakar selama 20 hingga 30 minit.  Warnya akan kelihatan keemas-emasan.  Jaga, jangan sampai hangus.

Cara-cara membuat Inti Cokelat.

3 biji kuning telur (gunakan telur besar)

2000 gram gula.  (Boleh kurangkan atau tambah ikut citarasa  anda.  Apa-apa pun jagalah kesihatan).

750 cc atau 3 cawan susu segar.  

20 gram tepung custard.

1 sudu makan koko.

1/2 suduk kecil esen vanilla.

Cara-cara membuatnya:

Kacau kuning telur dan gula hingga larut.  Masukkan dalam periuk.  Hidupkan api dengan cara sederhana.

Masukkan susu segar sedikit demi sedikit.

Kacau tepung custard dengan sedikit air dan masukkan ke dalam periuk.  Kacau lagi.

Masukkan koko dan akhir sekali vanilla.  Kacau terus hingga pekat dan mendidih.  Jangan dibiarkan kerana boleh hangus.

Setelah itu, matikan api biarkan sejuk betul-betul. 

Cara memasukkannya mudah.  Saya gunakan beg plastik pembukus makanan.  Saya tolak custard hingga ke bucunya.  Saya gunting sedikit bucunya.  Isi ke dalam Eclair.




Cara-cara membuat chocolate topping.


200 gram cooking chocolate.  Boleh juga gunakan choc chips.


1/2 cawan thick cream.


Cairkan dengan cara double boil.   (Cokelate dan cream di dalam mangkuk yang diletak di atas periuk yang berisi air mendidih)


Apabila sudah cair, sejukkan dalam 5 minit dan sapukan di atas setiap Eclair.  Masukkan Eclair ke dalam peti sejuk.  Agar cokelat yang baru disapu di atas dapat dikeraskan sikit.


Nak tau Eclair saya sedap atau tidak, tanya Hafizuddeen, Sali, Rufaidah dan yang seangkatan dengan mereka.  :))


Cubalah.  Tak payah beli lagi. Kalau kita beli, yang sedap, mahal, yang murah tak sedap.


Air tangan sendiri juga yang sedapkan?


Selamat mencuba.  Wassalam.

CUSTARD PUFF

Assalamu'alaikum.

Ah, sekarang anda semua sudah tahu saya ini memang hantu kuih. Kalau nampak sahaja kuih talam, terbeliak mata saya.  Namun, mestilah yang sedap, manis, enak dan lemak.

Ok.  Kali ini bukan hendak bercakap tentang kuih talam.  Tetapi custard puff.

Arwah ibu, memang suka buat kuih di waktu petang, sesi minum teh lah katakan.  Cuma, ibu hanya mahir buat kuih-kuih atau kuih resipi keluarga.

Keluarga saya, atau lebih tepat arwah Mak Tok (ibu kepada ibu saya) suka buat kuih juga.  Tetapi resipi keluarga.  Mak Tok kreatif.  Pandai cipta resipi daripada bahan-bahan di dapur.  Antara kuih atau pencuci mulut, sepert Bubur Blowok, Ondal-Andel, Bubur Keledek, Rugimat., dan beberapa lagi yang masa ini saya lupa namanya.

Oleh yang demikian, arwah ibu agak kurang mahir resipi membuat kuih-kuih barat.  Pertama kali saya makan Custard Puff masa kecil-kecil dahulu.  Kemudian, masa itu, hanya orang bangsa asing sahaja yang banyak menjualnya.  Dalam tahun-tahun 70an.

Kalau tidak salah, lepas itu Mak Ibong, ibu saudara saya, mula belajar.  Tetapi masa itu saya belum ada keyakinan untuk membuatnya.

Pada tahun 1988, saya bekerja di MRT.  Ada seorang rakan berbangsa Cina, kalau tak salah, Doris namanya, ada berikan saya resipi.  Sekali lagi saya kurang yakin.

Apabila saya bekerja di NPB dari tahun 1991 hingga 1994, di Bukit Merah, ada gerai kek, Mayflower, menjual Custard Puff ini.  Intinya bukan cream, tetapi custard yang ada jagung.  Enaknya tak terkata.

Tetapi apabila saya bertugas di tempat lain, sudah tidak dapat makan lagi.  Cuma akhir-akhir ini saya melungsuri internet dan terjumpa sesawang yang memberikan resipi Custard Puff.

Seperti biasa, saya ubah sedikit resipinya mengikut cita rasa saya.  Untuk puffnya, saya ikut.  Namun, intinya, iaitu castardnya, saya tambah jagung.

Di bawah ini saya berikan resipinya.

Bahan-bahan untuk membuat puff:

250 ml air.

150 gm butter unsalted.

125 gm tepung gandum.

4 biji telur yang besar.

Sedikit garam.  (Jangan banyak sangat. Takut puff terlalu masin, tidak enak).


Mula-mula masukkan air, butter dan garam ke dalam periuk atau kuali.  Saya gunakan non-stick.  Didihkan air itu dengan api yang agak besar.  

Apabila butter dan garam telah larut dan air sudah betul-betul mendidih, perlahankan api, kecil sekali.  

Masukkan tepung dan terus kacau menggunakan senduk kayu.  Kacau dan kacau hingga adunan menjadi seperti bola.  Ini lebih kurang dalam 1 minit.  Kemudian, matikan api.

Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah selsius.

Rehatkan dalam 3 minit dan masukkan ke dalam mangkuk pemukul telur.  Jangan gunakan besi untuk memukul telur.  Gunakan paddle, yang digunakan untuk memukul butter dan gula. 

Jika anda gunakan hand egg beater, masukkan ke dalam mangkuk besar pun boleh.

Putarkan egg beater pada had laju sederhada. Masukkan telur satu persatu.  Putar hingga sebati.  Jangan takut jika ada asap sikit, sebab masih panas.

Adunan akan pekat dan melekat pada mangkuk egg beater.  Gunakan sudip plastik dan pastikan semua bersatu.

Jika anda ada piping bag, anda bolehlah masukkan adunan ke dalam piping bag dan bentukkan ikut saiz yang anda suka.

Saya tidak ada piping bag.  Saya gunakan dua sudu dan bentukkan seperti bebola kecil.  Pastikan anda jarakkan semasa meletak di dulang pembakar.  Kerana puff akan naik menggelembung besar.

Bakar selama 20 hingga 30 minit.  Warnya akan kelihatan keemas-emasan.  Jaga, jangan sampai hangus.

Cara-cara membuat Custard Jagung.

3 biji kuning telur (gunakan telur besar)

150 gram gula.  (Boleh kurangkan atau tambah ikut citarasa  anda.  Apa-apa pun jagalah kesihatan).

750 cc atau 3 cawan susu segar.  

20 gram tepung custard.

1 tin atau 1 kotak jagung (whole corn.)  Tos jagung dan buang airnya.

1 tin atau 1 kotak jagung (cream corn)

1/2 suduk kecil esen vanilla.

Cara-cara membuatnya:

Kacau kuning telur dan gula hingga larut.  Masukkan dalam periuk.  Hidupkan api dengan cara sederhana.

Masukkan susu segar sedikit demi sedikit.

Kacau tepung custard dengan sedikit air dan masukkan ke dalam periuk.  Kacau lagi.

Masukkan kedua-dua jenis jagung dan akhir sekali vanilla.  Kacau terus hingga pekat dan mendidih.  Jangan dibiarkan kerana boleh hangus.

Setelah itu, matikan api biarkan sejuk betul-betul. 

Cara memasukkannya mudah.  Saya gunakan beg plastik pembukus makanan.  Saya tolak custard hingga ke bucunya.  Saya gunting sedikit hujungnya.  Besar sikit, sebab kalau kecil sangat, jagung akan tersumbat.

Buat lubang kecil pada puff.  Sumbatkan bucu plastik ke dalam lubang puff, dan picit. Saya suka intinya penuh, orang makan pun puas hati.

Pada pecubaan kedua, saya bawa ke sekolah, Hadi, Syamil, Ariff, Halim, Abu, semua dapat rasa.  Alhamdulillah, mereka tak "complaint".

Saya ada juga bawa ke rumah Cik Ah.  Intan, dan Fatin, makan non-stop.  Hehehe.

Cubalah.  Tidak rugi.  Berbaloi!

Selamat Mencuba. 

Wassalam.


KAMPUNG ELLIS ROAD

Assalamu'alaikum

Nak tidur tetapi mata tidak mahu lelap.  Oklah saya ambil keputusan untuk kongsi lagi resipi yang saya ada.

Oh ya, lupa hendak beritahu.  Saya ni, memang "hantu kuih".  Saya masih ingat lagi, semasa di tinggal di kampung Ellis Road. Di pasar ada gerai yang menjual Mi Rebus Wal Seman, Gerai Lontong Wak Sumi, Gerai Lontong Wak Getuk yang kemudian digantikan dengan Gerai Lontong Wak Katijah Pardan.  Tetapi yang menjadi idaman dan sasaran saya, adalah gerai kuih Wak Salamah.  Wak Salamah ini jiran saya juga.  Wak atau Nyai Salamah ini orang Jawa.  Cakap masih slang Jawa dan banyak perkataan Jawa yang digunakannya.

Beliau ada membuat kuihnya sendiri.  Yang lain Nyai Salamah ambil dalal (jualkan kuih orang lain dan dia ambil sedikit untung).  Kuih yang Nyai Salamah buat adalah Pulut Serunding dan Pulut Urap.  Enak tak terkata. Saya belum jumpa Pulut Serunding dan Pulut Urap yang sama hebatnya seperti yang dibuat oleh Nyai.

Sebelah rumah Nyai Salamah adalah rumah bapa saudara saya, saya panggil Wak Salleh.  Wak Salleh adalah abang ayah saya lain ibu.  Beliau adalah seorang polis pencen. Dulu kalau orang Melaka jadi polis dipanggil Mat Kampau. Kenapa? Tak tahu.


Oleh kerana sudah pencen beliau jual goreng pisang.  Aduh!!! Enak!!! Gemuk-gemuk.  Tak jumpa goreng pisang seperti itu lagi.  Garing.  Pisang kepuk di belah dan disumbat tengahnya dan digoreng di dalam kuali yang penuh dengan minyak panas. Tepungya lemak dan rangup.  Fuuh!!!  Goreng pisang juga akan dijual di gerai Nyai Salamah pada paginya.


Isteri Wak Salleh adalah Wak Kamsi, atau kami panggil Leksi.  Leksi ni pula sudah agak berumur.  Tapi jual naga sari.  Bila petang, dia akan masak tepung naga sari.  Kami akan datang mengecek tepung yang menjadi kerak.  Dia tak lokek.  Dia akan bungkuskan di dalam daun pisang.  Enak.  Lemak.  Naga Sari juga akan dijual di gerai Nyai Salamah esoknya.



Di seberang rumah saya, ada seorang lagi nenek.  Mak Neru.  Orang Bawean.  Mak Neru hanya menjual apam.  Mak Neru akan buat apam mulai tengah hari.  Dengan hanya menggunakan tangan apam akan dikacau dan dipukul dengan tangan sahaja.  Bila senja, dia akan kukus apamnya.  Kami akan datang minta beli panas-panas.  Beliau akan marah sebab apam adalah untuk dijual esok di gerai Nyai Salamah.  Tapi beliau baik hati.  Dijualnya sedikit untuk kami, budak-budak kecil.  Apa lagi, tak tunggu, terus masuk mulut.  Apam Mak Neru macam magik.  Masuk mulut terus hilang. Sangking lembutnya!!!

Sebelah pintu Mak Neru (ini rumah sewa), adalah bilik Cik Menah Nasi Lemak.  Fuuh.  Tak tau lah macam mana nak jelaskan.  Pagi-pagi Cik Menah akan bungkus Nasi Lemak dengan daun pisang!!!  Kalau beli di rumah Cik Menah, harganya cuma lima belas sen sahaja.  Kalau beli di Gerai Nyai Salamah dua puluh sen.  Kami akan beratur berderet-deret membelinya.

Ada seorang lagi, saya lupa namanya, isteri Encik Kecut.  Makcik ni pandai buat kuih talam ubi.  Cik Mamat, ayah saudara saya, suka Kuih Talam Ubi.  Selalu dia kirim kami membelinya.

Saya tidak ingat siapa lagi yang menghantar kuih-muih di gerai Nyai Salamah.  Tetapi yang saya ingat di gerai itu, mesti ada epok-epok, pulut serunding, lopes, dan beberapa macam lagi.

Namun, itu semua tinggal kenangan dan sejarah.  Pasar Ellis Road sudah tiada lagi.  Kampung Simpang Empat di Ellis Road terpaksa menyerah kalah dengan pembangunan pesat Singapura.  Tahun 1974, kami terpaksa tinggalkan kampung tempat saya dilahirkan dan dibesarkan.

Masjid, rumah, pasar, tempat permainan, sungai, Sekolah Tanglin Besar dan semua jiran-jiran, hanyalah menjadi kenangan.  Oleh kerana saya agak kecil pada masa itu, saya tidak berapa ingat jiran-jiran saya.

Saya lebih lama tinggal di Holland Avenue.  Namun, saya tidak akan lupakan kenangan di Ellis Road yang kini sudah dipenuhi oleh hotel dan bangunan lain.  Kalau anda hendak tahu, Tanglin Mall itu adalah tapak pasar Ellis Road.   :)

Sekian wassalam.


Sunday 27 May 2012

SHEPHERD'S PIE - VERSI CIKGU

Assalamu'alaikum pembaca semua.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi yang agak biasa sahaja.

Tetapi sebelum itu, ada juga ceritanya.  Semasa saya bersekolah dulu, ada kawan yang membawa pie ini ke sekolah sebagai bekal.  Nampak macam berselera, nak tanya malu, apatah lagi hendak minta rasa.  Memang ibu ayah tidak ajar begitu.  Maka telan air liur sahajalh melihat dia terus menyudu pie tersebut dengan penuh selera.  


Arwah ibu pula tidak begitu mahir dengan resipi-resipi barat.  Ahirnya, jadi kenangan sahaja.....

Semasa Madam Natasha sama-sama mengajar di sekolah yang sama, beliau ada membawanya juga. Kalau tidak salah dapatlah rasa sikit.  Beliau ada memberikan resipi.  Maklumlah, beliau orang Erusian, tentu pandai resipi-resipi barat.

Kalau tak salah Madam Norshidah pun ada beri resipi.  Cuma masa itu macam tidak yakin untuk membuatnya.

Beberapa tahun yang lalu, keluar dengan Hafiz.  Kami ke Jurong East.  Ada kedai Kek Royals.  Kedai itu menjual Shepherd's Pie.  Kami beli.  Aduh enaknya!  Tapi mahal sikit lah.

Barulah tahun ini saya, cuba-cuba buka youtube, dan ketemu resipi ini yang ditunjukkan oleh Chef Gordon Ramsay.  Bahan-bahan yang digunakan sudah tentulah ala British.  

Lalu saya mencubanya.  Cubaan pertama ok juga.  Cuma faham-fahamlah, "taste" orang barat ni, tak pedas.  Lidah ni pula, lidah Melayu, tak pedas, memang tak selera.  

Saya ubah sedikit.

Di sini, saya kongsi ya, resipi saya.  :)

Bahan-bahannya:

500 gram daging cincang/kisar.  Cuci dan toskan.  (Saya perah airnya di tapisan.  Kemudian keluarkan dan letak di dalam mangkuk.  Jika kita terus menapisnya, airnya akan berterusan turun, dan kemanisan daging itu hilang.  Oh ya, beli dangin lembu yang baik sikit.  Pilih gerai yang kita betul-betul kenal.  Kalau boleh beli di Cold Storage.  Hmm mahal sikitlah.)

1 labu bawang besar dan 2 atau 3 ulas bawang putih (bahan-bahan ini hendaklah diparut)

3 hingga 5 sudu makan cili boh.  (Masa mula-mula buat pie ini, saya tidak letak cili boh.  Maklumlah nak ikut resipi orang putih.  Cuma bubuh paprika sahaja.  Hmmm. Tak pedas.  Tak sedap.  Bila letak cili boh, baru terbeliak mata!)

1 labu bawang Jepun dimayang.

3 cawan sayur campur (Anda boleh tambah jika suka. Tetapi kalau hendak gunakan sayur lain pun boleh, seperti lobak.  Bolehlah diparut.  Gunakan parut pasak.)

1 sudu makan  Worcestershire Sauce (Saya beli di Mustaffa)

1 sudu makan tomato sos atau tomato puree.  Hati-hati, tomato puree ni, masam.  Jangan bubuh banyak sangat.  Saya lebih suka bubuh tomato sos.

1 cawan stok ayam.  (Kalau tidak ada, kadang-kadang saya gunakan 3 cawan air dan saya bubuh Knorr Chicken Stock.  Tapi kurangkan garam, sebab stok masin sikit).

Daun sup daun bawang. Dimayang halus macam bunga rampai. (Kalau orang barat, mereka gunakan rosemary dan thyme.  Leceh nak cari. Lagi pun saya rasa, bau daun sup dan daun bawang, sungguh enak dan membuka selera)

Garam, gula timbang (gula hitam), serbuk lada hitam dan paprika.


Cara-cara membuatnya:

Panaskan minyak.  Masukkan dua atau tiga helai bawang yang telah dimayang.  Kata arwah ibu ini boleh matikan bau minyak.

Selepas itu masukkan bawang dan bawang putih yang telah diparut.

Masukkan cili boh.  Masukkan sedikit gula. Ini untuk membantu penumisan.  Gula menjadi agen (caramelized) bahan tumisan.

Agak-agak sudah berwarna gelap, masukkan tomato sos/puree.

Teruskan menumis.  Kemudian masukkan daging diikuti oleh Worcestershire Sauce.  Gaul hingga rata.


Masukkan bawang Jepun.

Kemudian masukkan sayur campur dan diikuti oleh stok ayam.  Atau air biasa bersama Knorr Chicken Stock.  


Masak hingga daging empuk.  Jika kurang empuk tambahkan air. 

Bubuh garam, serbuk lada hitam dan serbuk paprika.

Jangan lupa daun sup daun bawang.

Masak hingga airnya kering.  Tetapi macam yang saya katakan, jangan kering sangat.  Lembab-lembab sikit.  Rasa sikit.  Kalau daging dah betul-betul empuk, matikan api.

Pindahkan daging yang telah dimasak ini dalam bekas yang boleh anda gunakan untuk membakar dalam ketuhar.  (Kalau malas nak cuci, bolehlah gunakan yang pakai buang.  Aluminium foil.  Saya suka gunakan ini. Sebab jika hendak bawa ke sekolah, mudah.)

Seterusnya anda harus buat kentangnya pula.


Cara membuat kentang.

500 gram kentang Russet Potato.  Madam Norshidah yang ajar saya gunakan kentang ini.  Mudah empuk. 

2 biji kuning telur.

2 hingga 3 cawan parmesan cheese yang diparut.

Garam dan serbuk lada hitam.

Kupas kulitnya.  Potong empat segi kecil.  Masukkan dalam periuk dengan air biasa.  Setelah semua kentang dimasukkan, barulah hidupkan api. Saya belajar ini, daripada chef di televisyen.  Barulah semuanya empuk dalam masa yang sama.  Bubuh sedikit garam.

Setelah empuk toskan airnya hingga kering.  Bubuh dalam mangkuk dan lumatkan.  Jika anda ada alatnya, mudah sahaja.  Jika tidak ada, gunakan alat melumatkan kentang yang selalu kita gunakan untuk buat bagedel.



Bubuh garam dan serbuk lada hitam.  Gaul rata.

Kemudian bubuh kuning telur, dan gaul lagi.

Akhir sekali, masukkan parmesan cheese.  Ini mesti.  Sebab ia akan menambahkan enak dan menggaringkan bahagian atas apabila kita bakar nanti.

Bubuh kentang di atas daging, dan ratakan.  Pastikan kentang menutupi daging.

Saya suka tabur sedikit oregano dan sedikit cheese.  Buat bau enak.  Kalau tidak ada, taburkan sahaja daun sup.  Jangan banyak sangat.

Bakar dalam ketuhar suhu 180 darjah selsius selama 20 minit atau hingga bahagian atas kening.  Saya suka garingkan sikit. 

Bila kasi Syamil makan, dia mengadu kenyang sangat. Tapi tak berhenti-henti makan.  Hahaha.

Selamat mencuba. 

Wassalam.


Yang ini saya gunakan mangkuk aluminium yang kecil.  Senang dibawa ke sekolah.  
Buat bekalan.




Yang ini, saya gunakan casserole yang besar.  Masa untuk membakarnya, kenalah lama sikit.  


KEK NENAS

Assalamu'alaikum.

Alhamdulillah.  Di hari minggu ini, cuaca agak redup.  Mungkin dek hujan malam semalam.  Sudah hampir beberapa minggu, cuaca panas membakar.  Kalau jalan dari stesen MRT hingga ke bawah blok, boleh bermandikan peluh!

Selepas kelas tadi, saya singgah di Causeway Point.  Saya ambil peluang membeli beberap perkakas kuih.  Dua dulang buah talam kecil, dua buah tin pembakar yang kecil dan juga tin kuih yang ada lubang tengahnya.  

Kemudian saya cari beg.  Beg dah putus.  Memang sudah beberapa hari aim beg haversack "Outdoor".  Nasib baik Atikah beritahu ada dijual di Causeway.  Alhamdulillah, dapat beg yang saya idamkan.  Penjual itu beritahu, jika dapat kumpulkan 3 resit hinggal $150.00 boleh dapat voucher $10.00.  Hmm, saya macam rasa pembelian saya tidak akan setinggi gitu.

Kemudian terus ke Cold Storage.  Hendak cari buttermilk.  Kalau sempat hendak buat Orange Individual Cake, resipi, Ina Garten, dari Barefoot Contessa.  

Sampai di Cold Storage bukan sahaja beli buttermilk, malahan macam-macam.  Susulah, dark chocolate lah, kemudian nampak pie crust Graham.  Dah beberapa hari cari Graham Crakers, tak jumpa-jumpa.  Sekarang nampak pula pie crust Graham.  Senanglah tidak payah buat crust sendiri.  Beli yang sudah siap.  Nanti boleh beli cheese dan strawberry.  Hendak buatkan Hadi Strawberry Cheesecake.  Tapi tidak tahu bila.... haiz...  Harus beritahu Hadi dahulu, takut-takut dia ada duty, dia tidak balik.  Tidak mengapa, beli crustnya dahulu.  Bila bayar, terperasan resit lebih kurang $40.00.  Tambah resit Metro dan beg, sudah lebih daripada $150.00!  Apalagi bergegas semula ke atas dan terus ambil voucher, alhamdulillah.

Bila pulang ke rumah, saya terus teringat tentang Kek Nenas, atau dalam bahasa Inggeris Pineapple Upside Down Cake.  Sebenarnya, saya sudah lama "berdendam" hendak buat kek ini.  Tetapi sejauh ini, cuma jumpa resipi dalam bahasa Melayu.  Dan bahan-bahannya tidak meyakinkan.  Mungkin itu nasib saya.

Tetapi beberapa bulan yang lepas, saya layari internet, dan terjumpa sesawang Joyofbaking.com.  Banyaknya resipi!  Ada yang agak mudah untuk kita ikuti!  Saya pun pilih untuk menonton video bagaimana hendak membuat Pineapple Upside Down Cake.

Sejauh ini, resipi kek yang saya temui, banyak menyuruh kita memukul telur hingga naik tinggi.  Tetapi untuk resipi orang barat, mereka hanya gunakan kaedah itu apabila hendak mempuat Sponge Cake.  Untuk Butter Cake, mereka tidak perlu memukul telur begitu lama.

Alhamdulillah, hajat henda buat Pineapple Upside Down Cake tercapai.  Tetapi, saya ingin kongsi pengalaman pertama saya.  Percubaan pertama, hampir-hampir gagal.  Setelah siap kek dibancuh dan dimasukkan ke dalam ketuhar, saya tidak ikut masa dan kepanasan yang telah diberikan.  Saya keluarkan terlalu awal. Apabila diterbalikkan, kek nampak cantik.  Tetapi apabila dicucuk, dalamnya belum masak.  Apa lagi, kelam kabut saya memasukkan semula ke dalam ketuhar.

Oleh itu, saya berpesan. Ikut arahan.  InsyaAllah, kek akan menjadi.

RESIPI KEK NENAS (PINEAPPLE UPSIDEDOWN CAKE)

Untuk Bahagian Atas

55 gram butter. (Gunakan unsalted.  Dan seperti biasa untuk dapat keenakan saya gunakan Anchor.  Tetapi anda bebas menggunakan apa-apa butter sekali pun)

160 gram light brown sugar

1 tin nenas (Saya beli yang telah dipotong bulat)

Beberapa biji buah cherry (Saya beli yang dalam botol)


Untuk Bahagian Kek.

195 gram tepung

2 suduh teh serbuk penaik.

1/4 sudu teh garam

113 gram butter (unsalted)  dalam keadaan suhu bilik

200 gram gula.  (Anda boleh kurangkan jika tidak suka manis.  Semasa saya bawa ke sekolah, Ustadzah Muayanah beritahu, kek ini terlalu manis.  Lantas pada percubaan seterusnya saya kurangkan gula.  Tambahan lagi, saya tukar kepada gula kaster.  Kerana gula kaster halus dan kek naik ringan)

1 sudu teh vanilla.  (Di sini saya ingin peringatan anda semua.  Dalam resipi sebenarnya, mereka gunakan pure vanilla extract.  Pada mulanya saya memang ikut betul-betul resipi ini.  Tetapi apabila saya terbaca pada botol pure vanilla extract, ianya mengandungi alkohol.  Saya terus buang botol tersebut. Tidak berani saya hendak gunakan lagi.  Saya gunakan yang ada cop Halal sahaja).

2 butir telur.  Pisahkan putih daripada kuning telur.  Saya gunakan telur yang besar, bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

120 ml susu segar.

(Dalam resipi asal ada menyuruh kita meletakkan "cream of tartar".  Saya pun gunakanlah.  Memang kek jadi lembut dan kuat.  Kerena ia akan membantu dalam memuku putih telur.  Tiba-tiba Allah gerakkan hati saya, untuk sekali lagi baca bahan-bahan yang digunakan untuk membuatnya.  Alangkah terkejutnya saya!.  Rupanya ia diperbuat daripada kerak di tepi tong membuat arak!  Saya pun buang kek yang telah saya buat.  Pada masa seterusnya saya tidak lagi menggunakan cream of tartar)

Cara-Cara Membuatnya:

Panaskan ketuhar pada suhu 177 darjah selsius.  Letakkan rak pada bahagian tengah ketuhar.

Sapukan butter dan taburkan pada tin pembakar yang bulat berukuran 9 inci.

Keluarkan nenas dari dalam tin dan toskan.  

Masukkan butter dan brown sugar ke dalam saucepan.  Gunakan api sederhana.  Kacau sedikit dan biarkan gula larut.  Setelah gula larut, jagan kacau lagi, tetapi biarkan sahaja hingga ianya larut dan berbuih.  Jika terlalu banyak kacau, gula akan jadi kristal.  Jika mahu bolehlah goyang-goyangkan saucepan itu.  Matikan api.

Tuang gula cair itu ke dalam tin pembakar tadi.  Kemudian susun nenas yang telah ditos tadi.  Susun buah ceri ke dalam bahagian lubang nenas dan mana-mana bahagian yang anda suka. Lakukan ini cepat sedikit sebelum gula tadi sejuk dan keras.

Dalam sebuah mangkuk, ayak tepung, serbuk penaik dan garam.

Dalam mangkuk pemukul telur pukul putih telur sehingga naik dan menjadi pekat.  Setelah itu pindah ke mangkuk yang lain.  (Saya cuma ada satu mangkuk pemukul telur.  Jika anda ada lebih daripada satu mangkuk, anda tidak perlu pindahkan, cuma tukar mangkuk sahaja).

Setelah itu masukkan butter dan gula.  Pukul sehingga ringan dan putih.  Pastikan anda gunakan sudip plastik dan kaup bahagian tepi mangkuk pemukul telur agar telur dan gula betul-betul dipukul rata.  Kemudian masukkan vanilla.

Perlahankan had laju pemukul telur, dan masukan telur satu persatu.  Setelah sebati, hentikan pemukul telur.

Masukkan sebahagian adunan tepung.  Gaul perlahan-lahan.

Kemudian masukkan sedikit susu.  Sama juga gaul perlahan-lahan.

Masukkan lagi adunan tepung.  Gaul.  

Masukkan lebihan susu.

Akhir sekali masukkan adunan tepung.  Pastikan adunan tepung adalah yang terakhir.

Senang cakap, Tepung tiga kali, susu dua kali.

Jangan lupa putih telur.  Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan gaul perlahan-lahan.  (Pernah saya buat kek ini, saya lupa hendak masukkan putih telurnya.  Kelam kabut saya dibuatnya.)

Setelah itu, tuangkan adunan kek ini ke dalam tin yang telah disusun dengan nenas dan ceri tadi.

Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 45 hingga 55 minit.  Apabila agak-agak sudah masak, cucukkan lidi.  Tapi jangan terlalu dalam, kerana akan tercucuk nenas di bawah tin.

Jika lidi itu keluar bersih, beerti kek sudah pun masak.  Keluarkan dari ketuhar.  Biarkan sejuk selama 10 minit.

Ambil piring kek stand atau piring yang lebih besar daripada tin pembakar, dan telangkupkan cake stand atau piring besar di atas tin pembakar.

Terbalikkan perlahan-lahan.  Bacalah bismillahirrahmanirrahim.  Mudah-mudahan kek keluar dengan cantik.  

Apabila sudah terletak di atas cake stand atau piring, pasti anda akan bersyukur dan tersenyum.

Kepada anda yang tidak suka nenas, boleh tukarkan kepada buah peach.  Saya gunakan slice peach dalam tin.  Sama juga, toskan dan susun ikut suka hati anda. Sertakan dengan buah ceri juga.  Ia akan bertukar nama kepada Peach Upside Down Cake!

Ok.  Cerita saya belum tamat lagi.

Semasa saya menonton rancangan Paula's Best Cooking, oleh Paula Dean, beliau telah menunjukkan cara menghidangkan Pineapple Upside Down Cakenya.

Untuk menghidangnya, Paula Dean menggunakan kastad.  Beliau masak kastad.  Paula memotong kek dan meletakkan seulas kek di atas piring.  Kemudian beliau siram kastad yang hangat itu ke atas kek.  Wah, enaknya! Idea baru.

Tetapi pada pandangan saya kastad itu kosong sahaja, saya cuba pelbagaikan.

Ingat, kek daripada tepung.  Kastad pula daripada tepung telur dan susu. Mungkin akan memuakkan.

Saya tukar sikit.  Di bawah ini saya sertakan resipinya.

SIRAMAN JAGUNG.  

1 tin atau 1 kotak jagung (whole corn). Ada yang dijual dalam tin ada yang dijual di dalam kotak.  Toskan jagung ini.

1 tin atau 1 kotak jagung (cream corn).

1 cawan susu segar atau boleh juga gunakan susu sejat.

Gula dan garam secukup rasa.

1 sudu kecil essen vanilla.

Masukkan semua bahan-bahan ini ke dalam saucepan.  Masak dengan api sederhana. Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih.  Oh ya, lupa, essen vanilla hanya dimasukkan setelah bahan ini mendidih dan seminit sebelum anda tutup api.

Sejukkan sedikit dan siramlah ke atas kek yang anda hendak hidangkan.  Jika boleh, hidangkan kek ini semasa hangat lagi.  Enak rasanya!

Saya pernah berikan Hadi Peach Upside Down Cake bersama siraman jagung ini.  Madam Baizah beritahu, semasa makan dia terus berkata, "Sinful food, sinful food".  Namun, dia terus menghayun kek dan siraman jagung itu ke dalam mulutnya.  Hadi, Hadi..... :)


Jikalau Hadi "kalah" dengan kehebatan kek dan siraman ini, anda tunggu apa lagi?  Ayuh cepatlah mencubanya.

SELEMAT MENCUBA DAN SEMOGA BERJAYA!  

Wasslaam.


Inilah Pineapple Upside Down Cake Saya.


Inilah Peach Upsidedown Cake Saya.








Inilah siraman jagung ke atas kek.