Monday 18 June 2012

KEK PISANG

Assalamu'alaikum 

Semoga yang sedang membaca, sihat sejahtera.

Kek Pisang.  Hmm, nampaknya macam mudah sahaja.  


Tetapi seperti yang kita semua sedia maklum, untuk seseorang itu menikmati kek pisang, kek ini mesti ada ciri-ciri yang tertentu, agar si pemakan kek itu, akan jatuh cinta, dan tidak akan berhenti makan kek pisang tersebut, hinggalah kek itu habis.  Barulah boleh dinamakan Kek Pisang yang hebat.


Sebelum saya berkongsi resipi kek pisang ini, saya hendak kongsi cerita sedikit.  Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah syarikat yang mengendalikan Conference.  Pada hari pertama saya, adalah hari terakhir pegawai yang telah letak jawatan, di mana tempatnya, saya yang akan gantikan.

Memang sudah jadi trend di firma tersebut, apabila hari terakhir, rakan-rakan yang lain akan sediakan sedikit jamuan untuk pegawai yang telah meletak jawatan.  Maka pendekkan cerita, hari tersebut ada jamuan kecil. Antara yang mereka sediakan adalah Kek Pisang, yang mereka beli dari Hotel Mandarin.  Wah, kek dari hotel, masakan tidak hebat?!

Dengan murah hati, mereka menghulurkan kek itu kepada semua yang hadir.  Di antara komen mereka adalah:

Wah, so nice!  Wah, soft!  Wah, so moist!

Air liur siapa tak terkecur melihat kek yang enak, bau yang wangi dan puji-pujian yang diberikan.

Sedang kek itu dihulurkan ke arah saya, tiba-tiba saya teringat.  "Kalau kek ini dari hotel, sedap, lembut dan lembab, hmmm mesti ada letak arak!"

Lantas apabila kek itu sampai kepada saya, saya menolaknya dengan sopan, dengan mengatakan saya tidak gemar kek pisang.

Sejak dari peristiwa itu, saya memang tidak berani makan kek yang dari hotel yang tidak ada label halal.

Akhirnya, saya selalu beli kek pisang yang dijual di gerai2, terutama di KL.  Kek pisangnya agak terkenal.  Yang mengenalkan kek ini kepada saya adalah Eznillah, rakan saya.  Masa itu kami sama-sama ke KL.  Keknya agak enak, sedap.  Namun, pada pendapat saya, kurang lembut.

Beberapa bulan yang lepas,  saya telah meminta jasa baik rakan saya, Puan Salamah untuk berikan saya resipi kek pisang.  Beliau telah berikan dan saya cuba.  Hmm tidak tahu di mana silapnya, kek ini tidak menjadi.  Mungkin saya salah bahan atau salah tatacara, akhirnya, kek itu masuklah dalam tong sampah. Hmmm

Lantas saya merajinkan jari-jemari saya untuk melungsuri internet.  Saya terjumpa di salah satu lelaman sesawang, yang mengajar bagaimana untuk membuat kek pisang.

Resipinya, memerlukan butter yang dicairkan.  Hmmm, tak pernah buat, seram juga.  Maklumlah, saya bukanlah seorang profesional. 

Tapi, kata orang, tidak cuba tidak tahu.  Saya pun terus membuatnya.  

Setelah kek itu siap dibakar dan disejukkan.  Saya pun mulalah memotongnya dan merasanya.

Aduh, minta ampun sedapnya!  (Dialog Puan Asmah Laili)

Lembut, enak, lembab dan ringan!

Terima kasih kepada yang sudi berkongsi resipi.  Namun, mohon maaf, saya lupa alamat lelaman sesawangnya.

Inilah resipi Kek Pisang.

Bahan-bahannya:

100 gram butter (Seperti biasa saya gunakan jenama Anchor Unsalted.  Dengan api yang sederhana, butter ini hendaklah dipanaskan hingga tiga suku cair. Matikan api dan goyang-goyangkan pan anda hingga bahagian yang panas dapat mencairkan lebihan butter yang belum cair.  Seorang rakan sepejabat, Puan Salamah, yang berkongsi cara ini dengan saya.)

3 biji telur (yang bersaiz besar)

150 gram gula (anda boleh kurangkan ke 130 gram jika tidak suka manis)

200 gram pisang dipotong kecil-kecil.  (lebih kurang 3 biji pisang Del Monte.  Gunakan yang 3/4 masak.  Jika mentah sangat, kelat, jika masak sangat, pisang sudah kurang cantik).

150 gram tepung.

1/2 sudu baking powder.

1/4 sudu baking soda

1 sudu teh vanilla

Cara-cara membuatnya:

Panaskan ketuhar pada 160 darjah selsius.

Sediakan acuan.  Sapukan butter dan taburkan tepung pada acuan.  Di sini saya ingin kongsi sesuatu.  Saya tidak ikut seperti yang diarahkan oleh resipi yang asli.  Saya tidak gunakan acuan bulat berukuran 8 inci.

Tetapi saya gunakan acuan yang pakai buang, alumuminium baking tin, yang empat persegi panjang.  Macam yang digunakan untuk masak roti.  Ini kerana saya telah mencuba kedua-dua jenis acuan, iaitu yang bulat dan yang empat persegi ini, namun, kek yang saya bauat dengan mengguakan acuan empat persegi, adalah lebih ringan dan lembut.  Jika anda mahu gunakan acuan bulat, gunakan acuan yang berukuran 8 inci.

Ayak tepung, bersama dengan baking powder dan baking soda.

Masukkan telur dan gula ke dalam mesin pemukul telur.  Dengan menggunakan had yang laju, pukul telur dan gula.  Setlah 3 minit, masukkan pisang sedikit demi sedikit. Hati-hati semasa masukkan pisang, kerana adunan telur dan gula akan terperecik.  Pukul lagi sehingga semuanya kembang. Jika anda gunakan pemukul telur KENWOOD, pukul lebih kurang sepuluh hinggga tiga belas minit).

Padam mesin pemukul telur.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan dan gaul (fold in) higga rata.

Masukkan butter yang telah dicairkan.  

Masukkan vanilla.

Tuang ke dalam tin pembakar kek. 

Bakar di dalam ketuhar lebih kurang 40 hingga 45 minit, atau apabila dicucuk di tengahnya, lidi pencucuk itu kering.

Sejukkan dan bolehlah dinikmati.

Selamat mencuba.

Wasslaam.








Yang ini hanyalah hiasan.  Saya sirakan siraman kastard dan hirisanpisang.  Anda boleh dapatkan resipinya pada perisian blog saya sebelum ini.  Memang enak dimakan.









Tuesday 12 June 2012

KEK HARI LAHIR (PERCUBAAN KEDUA)

Assalamu'alaikum.

Semoga pembaca berada di dalam keadaan sihat sejahtera.

Pada hari Rabu yang lalu, saya telah membuat kek hari lahir yang kedua.  

Sebenarnya, hari lahir untuk Hafiz, adalah minggu hadapan.  Tetapi oleh kerana susah hendak jumpa dia, saya buatkanlah "Advance Birthday Cake".

Dengan menggunakan resipi yang sama.  Cuma kali ini, saya cuba-cuba tambahkan sedikit masacarpone cheese dan cream cheese pada frostingnya.

Pada mulanya agak cair.  Panik juga dibuatnya.  Saya cepat-cepat masukkan dalam peti ais.  Setelah beberapa jam, frosting agak memekat sedikit.  Ini memudahkan untuk saya meletakkan frosting pada kek.

Oleh kerana ada lebihan frosting, saya gunakan beg plastik yang ada di dapur.  Buat masa ini saya masih belum membeli corong untuk frosting.  Lantas, saya cuma gunakan beg plastik pembungkus makanan dan saya gunting sedikit bucunya.

Saya cubalah buat corak yang mudah.  Dalam peti ais pula, ada buah strawberry.  Lantas saya cuba letakkan di atasnya.  Apabila saya lihat strawberry yang pertama tidak roboh, saya teruskan pada tempat yang lain di atas kek.

Hari ini genap 12 June 2012.  Selamat Hari Lahir Hafiz.  Semoga Allah memberkati usiamu dan jadi anak yang soleh. Amin.

Sekian wassalam.






Monday 4 June 2012

KEK COKELAT FROSTING DAN JUGA KEK HARI LAHIR, PERCUBAAN PERTAMA

Assalamu'alaikum para pembaca.

Sepatutnya, perisian ini saya pos lebih awal.  Tetapi oleh kerana terlalu teruja dengan resipi-resipi yang lain, hinggakan saya tidak sempat hendak pos perisian ini.



Pada akhir bulan April yang lalu, saya telah cuba membuat satu resipi yang saya dapati dari rancangan televisyen, Barefoot Contessa, oleh Ina Garten.


Semasa itu Ina telah menunjukkan resipi Beatty's Chocolate Cake.  Selama ini, saya bukanlah seorang ahli membuat kek.  Jauh sekali hendak membuat kek yang ada frosting.


Namun, apabila saya menonton cara Ina membuatnya, datang pula semangat untuk saya membuatnya.  Tidaklah nampak terlalu mudah, tetapi, macam teruja hendak mencuba.


Lantas saya salin resipinya dan cuba membuatnya.  Resipi yang tidak menggunakan butter untuk keknya, agak menyeramkan.  Sebelum ini saya tidak pernah buat kek tidak pernah tidak gunakan butter.  Macam yang saya katakan tadi, saya bukanlah seorang profesional.  Apabila sebut kek sahaja, maknanya ada butter.  Tapi Ina gunakan minyak masak.


Tetapi keinginan hendak mencuba begitu kuat sekali. Pada suatu hari Isnin saya mencubanya.  Esoknya, ada mesyuarat, bolehlah dibawa.  Ahli-ahli dalam mesyuarat boleh menjadi "food tester".  Hehehe.


Masa pertama kali hendak meletakkan icing ke atas kek, menggeletar juga tangan dibuatnya.  Tetapi apabila kek sudah siap dihias, hilang selera hendak makan.  Entahlah, memang macam gitu.  Apa yang saya buat, saya tidak begitu minat hendak makan.  Tetapi, saya mesti rasa juga.  Sebab takut tak sedap.  Saya potong sedikit. Aduhhh! Mintak ampun sedapnya.  Cuma satu sahaja. Saya tidak gunakan gula icing untuk membuat icingnya, maka terasa gulanya.


Apabila bawa ke sekolah keesokkan harinya, sambutannya menggalakkan. Alhamdulillah.


Keesokan harinya, saya buat lagi.  Kali ini teringat 1 May ialah hari lahir Hadi.  Tidak tahu hendak hadiahkan dia apa. Cubalah buatkan kek.  Tetapi ini bermakna ini "advance".  Kerana masa saya berikan kepadanya, baru 27 April.  Tidak mengapa kasi sahaja, sebab hendak tunggukan harinya tidak mungkin sebab bila cuti, sudah tentu hendak bersama keluarga.  


Untuk kek Hadi saya baiki sikit.  Saya gunakan gula icing. Ah, barulah betul.  Semasa menyapunya ke atas kek, baru nampak cantik.  Cuma kali ini saya tertambah sedikit cokelat.  Lantas kek cokelat itu bertukar warna gelap, sudah hampir kelihatan macam "Mud Cake". Hahaha.  Tak mengapa, Hadi suka, dia kata sedap.  Inilah kali pertama saya cuba untuk buat kek hari lahir.






Di bawah ini saya sertaka resipi kek tersebut.






Bahan-bahannya:


Sedikit butter untuk disapukan pada acuan kuih.


1 3/4 cawan tepung
2 cawan gula
3/4 cawan serbuk koko
2 sudu teh baking soda
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam
1 cawan buttermilk (goncang kotaknya dahulu)
1/2 cawan minyak sayur
2 butir telur yang besar (suhu bilik)
1 sudu teh essen vanilla
1 cawan kopi instant (saya gunakan Boncafe - Mocha)
Chocolate Buttercream (Resipinya akan saya sertakan selepas ini)




Cara-cara membuatnya:


Panaskan ketuhar pada 177 darjah selsius.


Sapukan butter pada 2 acuan kek yang berukuran 8 inci.  Kemudian taburkan tepung.  


Keluarkan lebihan tepung dengan menepuk-nepuk acuan kek.


Ayak tepung, gula, serbuk kok, baking soda, baking powder dan garam.  Masukkan semua bahan-bahan yang telah diayak ini ke dalam mangkuk pemukul telur.  Dengan menggunakan paddle attachment, putar perlahan-lahan, hingga semua bahan sebati.  Ini dalam 1 hingga 2 minit sahaja.  Jangan lama sangat.


Dalam mangkuk yang lain, campurkan buttermilk, minyak, telur, dan vanillah.


Dengan menggunakan kelajuan yang perlahan, tuangkan bahan-bahan buttermilk ini ke dalam mangkuk pemukul telur itu.


Kemudian tuangkan kopi yang suam ke dalam mangkuk pemukul telur, dan matikan (off) pemukul telur itu.


Gunakan sudip plastik, kacau semua bahan-bahan.


Tuangkan adunan ke dalam 2 acuan kek dengan membahagikan sama rata.  Untuk memudahkan, anda bolehlah meletakkan kertas alas di bawah acuan kek.


Masukkan dalam ketuhar dan bakar antara 25 hingga 30 minit.  Apabila telah masak, cucuk dengan lidi untuk pastikan kek telah betul-betul masak.  Keluarkan, dan sejukkan betul-betul sebelum menyapu icing.




Bahan-bahan membuat chocolate frosting:


170 gram semi sweet chocolate
226 gram butter unsalted
1 kuning telur daripada telur yang besar, suhu bilik
1 sudu teh essen vanilla
1 1/4 cawan gula icing
1 sudu besar kopi segera ((saya gunakan Boncafe - Mocha)




Cara-cara membuatnya:


Cairkan cokelat dengan menggunakan double boil.  Setelah cair, ke tepikan untuk disejukkan.


Dalam mangkuk mesin pemukul telur dan menggunakan paddle attachement, masukkan butter dan putar pada had laju sederhana lebih kurang 3 minit, hingga ringan dan keputih-putihan.


Seterusnya, masukkan kuning telur dan essen vanilla dan putar lagi selama 3 minit.


Perlahankan had laju, dan masukkan gula icing.  Kemudian putar semula pada had sederhana.


Bancuhkan kopi segera bersama dengan dua sudu makan air panas.


Perlahankan had laju pemukul telur, dan masukkan cokelat yang telah disejukkan dan seteruskan kopi yang telah dibancuh dengan air.


Gunakan sudip plastik dan gaul rata.


Letakkan sebuah kek di atas pinggan atau cake stand.  Lapikkan antara kek dan pinggan dengan kertas-kertas kecil.  Ini untuk memudahkan anda menyapu icing, dan tidak kotorkan pinggan. 


Sapukan sedikit icing di atas kek.  Kemudian letakkan kek yang kedua. Sapukan di atasnya. Kemudian di tepi kek dan seterusnya hinggalah seluruh kek disapu dengan frosting cokelat.


Tarik kertas-kertas kecil yang di bawah kek.  Pinggan atau cake stand tidak akan kotor.


Selamat mencuba.


Wassalam.
























MUFFIN BLUEBERRY

Assalamu'alaikum para pembaca.


Hari ini hari pertama saya betul-betul cuti sekolah.  Memang tidak ada rancangan untuk keluar.  


Berapa hari yang lepas, Cikgu Is ada beritahu akan singgah ke rumah saya untuk kembalikan bekas kek.  Hmmm terfikir-fikir, tercongak-congak, terkira-kira...  Hendak siapkan juadah apa ya?


Maklumlah, rumah beliau sentiasa mempunyai menu yang hebat-hebat.  Jikalau sediakan juadah berat-berat, pasti beliau sudah terlalu kenyang, kerana mungkin beliau sudah sarapan di rumah. 


Saya teringat resipi muffin Ina.  Saya sudah simpan tetapi belum mencubanya.  Yang seronoknya, adunan ini boleh disimpan di dalam peti ais setelah ianya siap diadun.


Dengan penuh ghairah, saya beli bahan-bahan semalam.  Selepas maghrib saya mula membancuh.  Setelah siap saya cuba bakar 3 dahulu.  Hmmm memang enak muffin ini.  Lembut. 


Sejam sebelum Cikgu Is sampai saya bakar adunan ini.  Beliau sampai bersama 'Aufa. 


Di bawah ini saya sertakan resipinya:


Bahan-bahannya:


170 gram unsalted butter, dalam suhu bilik.  (Sekali lagi saya gunakan jenama Anchor).


1 1/2 cawan gula (saya gunakan gula caster)


3 biji telur yang besar, suhu bilik


1 1/2 sudu teh essen vanilla


1 cawan sour cream


1/4 cawan susu segar


2 1/2 cawan tepung 


2 sudu teh baking powder


1/2 sudu teh baking soda


1/2 sudu teh garam halus


3 pint blueberry (kalau kita beli di pasaraya, ianya dijual dalam kotak plastik yang kecil. Saya beli 3 kotak).




Cara-cara membuatnya:


Panaskan ketuhar pada 177 darjah selsius


Siapkan acuan kek kertas muffin. Saya gunakan yang berlilin, makanya tidak perlu di letak di dalam "muffin tin".


Masukkan butter dan gula ke dalam mesin pemutar telur.  Dengan menggunakan paddle mixer, putar dengan had laju sederhana hingga adunan ini ringan dan gebu keputih-putihan.


Perlahan had laju mesin pemutar telur ini, dan masukkan telur satu persatu.  


Kemudian masukkan susu segar, sour cream dan vanilla.


Dalam bekas yang lain, ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam.


Perlahankan mesin pemukul telur, dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.  Setelah semua tepung masuk ke dalam mangkuk pemukul telur, matikan (off) mesin ini. Jika anda putar mesin ini terlalu lama, adunan akan keras.


Keluarkan mangkuk pemukul telur ini.  Dengan menggunakan sudip plastik, gaul adunan perlahan-lahan. Kemudian, masukkan blueberry ke dalam adunan tadi.


Tuangkan adunan ini ke dalam acuan kertas berlilin (jika anda ada acuan muffin boleh gunakan).  Tuang dalam ukuran tiga suku sahaja.  Kerana adunan ini akan naik dan mengembang.


Bakar selama 25 hingga 30 minit atau semasa anda periksa, cucuk tengahnya dengan lidi.  Jika lidi keluar bersih, sudah masaklah nampaknya tu.


Cubalah.  Enak.  Oh ya, rasanya tidak begitu manis.  Baik untuk mereka yang menjaga kesihatan.


Selamat mencuba.  Wassalam.





















KEK OREN, BERKISMIS DAN CHOCOLATE GANACHE (Individual)

Assalamu'alaikum para pembaca.


Untuk perisian kali ini, saya tidak akan sertakan resipi baharu. Saya cuma hendak muat naikkan beberapa gambar kek yang tersebut di atas.


Cuma kali ini saya tidak gunakan bundt cake tin atau turban cake tin, tetapi saya gunakan acuan kertas berlilin yang anda boleh beli di mana-mana kedai yang menjual bahan-bahan dan perkakas membuat kuih.


Sekadar peringatan bersama, jika anda gunakan acuan kertas ini, pastikan semasa anda mengisi adunan, isikan hanya tiga suku acuan sahaja, kerana kek akan naik dan mengembang.


Saya juga tidak mengeluarkan kek dari acuan kertas dan menyiramnya seperti yang diajar oleh Ina.  Tetapi saya biarkan sahaja di dalam kertas.  Saya sirakan jus oren dan diikuti oleh chocolate ganache.


Bukan apa, kek ini saya buat khas untuk seorang saudara saya yang akan ke Perak pada Sabtu lalu. Beliau ke sana hendak menjemput kelurganya yang sedang bercuti, pulang ke mari.


Kerana anak-anaknya masih agak kecil, saya rasa tentu mereka akan seronok makan kek yang bersaiz kecil.  Tadi ni pula saudara saya memberitahu bahawa kek saya bukan sahaja sudah sampai ke Perak, malahan ke Pahang!


Subhanallah...  Tak sangka, kek itu telah dapat meyerantau.  :)  Semoga orang Perak dan orang Pahang suka makan kek saya. :)


Ok lah semoga anda terus mencuba dan mencuba.  


Wassalam.