Monday 4 June 2012

KEK COKELAT FROSTING DAN JUGA KEK HARI LAHIR, PERCUBAAN PERTAMA

Assalamu'alaikum para pembaca.

Sepatutnya, perisian ini saya pos lebih awal.  Tetapi oleh kerana terlalu teruja dengan resipi-resipi yang lain, hinggakan saya tidak sempat hendak pos perisian ini.



Pada akhir bulan April yang lalu, saya telah cuba membuat satu resipi yang saya dapati dari rancangan televisyen, Barefoot Contessa, oleh Ina Garten.


Semasa itu Ina telah menunjukkan resipi Beatty's Chocolate Cake.  Selama ini, saya bukanlah seorang ahli membuat kek.  Jauh sekali hendak membuat kek yang ada frosting.


Namun, apabila saya menonton cara Ina membuatnya, datang pula semangat untuk saya membuatnya.  Tidaklah nampak terlalu mudah, tetapi, macam teruja hendak mencuba.


Lantas saya salin resipinya dan cuba membuatnya.  Resipi yang tidak menggunakan butter untuk keknya, agak menyeramkan.  Sebelum ini saya tidak pernah buat kek tidak pernah tidak gunakan butter.  Macam yang saya katakan tadi, saya bukanlah seorang profesional.  Apabila sebut kek sahaja, maknanya ada butter.  Tapi Ina gunakan minyak masak.


Tetapi keinginan hendak mencuba begitu kuat sekali. Pada suatu hari Isnin saya mencubanya.  Esoknya, ada mesyuarat, bolehlah dibawa.  Ahli-ahli dalam mesyuarat boleh menjadi "food tester".  Hehehe.


Masa pertama kali hendak meletakkan icing ke atas kek, menggeletar juga tangan dibuatnya.  Tetapi apabila kek sudah siap dihias, hilang selera hendak makan.  Entahlah, memang macam gitu.  Apa yang saya buat, saya tidak begitu minat hendak makan.  Tetapi, saya mesti rasa juga.  Sebab takut tak sedap.  Saya potong sedikit. Aduhhh! Mintak ampun sedapnya.  Cuma satu sahaja. Saya tidak gunakan gula icing untuk membuat icingnya, maka terasa gulanya.


Apabila bawa ke sekolah keesokkan harinya, sambutannya menggalakkan. Alhamdulillah.


Keesokan harinya, saya buat lagi.  Kali ini teringat 1 May ialah hari lahir Hadi.  Tidak tahu hendak hadiahkan dia apa. Cubalah buatkan kek.  Tetapi ini bermakna ini "advance".  Kerana masa saya berikan kepadanya, baru 27 April.  Tidak mengapa kasi sahaja, sebab hendak tunggukan harinya tidak mungkin sebab bila cuti, sudah tentu hendak bersama keluarga.  


Untuk kek Hadi saya baiki sikit.  Saya gunakan gula icing. Ah, barulah betul.  Semasa menyapunya ke atas kek, baru nampak cantik.  Cuma kali ini saya tertambah sedikit cokelat.  Lantas kek cokelat itu bertukar warna gelap, sudah hampir kelihatan macam "Mud Cake". Hahaha.  Tak mengapa, Hadi suka, dia kata sedap.  Inilah kali pertama saya cuba untuk buat kek hari lahir.






Di bawah ini saya sertaka resipi kek tersebut.






Bahan-bahannya:


Sedikit butter untuk disapukan pada acuan kuih.


1 3/4 cawan tepung
2 cawan gula
3/4 cawan serbuk koko
2 sudu teh baking soda
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam
1 cawan buttermilk (goncang kotaknya dahulu)
1/2 cawan minyak sayur
2 butir telur yang besar (suhu bilik)
1 sudu teh essen vanilla
1 cawan kopi instant (saya gunakan Boncafe - Mocha)
Chocolate Buttercream (Resipinya akan saya sertakan selepas ini)




Cara-cara membuatnya:


Panaskan ketuhar pada 177 darjah selsius.


Sapukan butter pada 2 acuan kek yang berukuran 8 inci.  Kemudian taburkan tepung.  


Keluarkan lebihan tepung dengan menepuk-nepuk acuan kek.


Ayak tepung, gula, serbuk kok, baking soda, baking powder dan garam.  Masukkan semua bahan-bahan yang telah diayak ini ke dalam mangkuk pemukul telur.  Dengan menggunakan paddle attachment, putar perlahan-lahan, hingga semua bahan sebati.  Ini dalam 1 hingga 2 minit sahaja.  Jangan lama sangat.


Dalam mangkuk yang lain, campurkan buttermilk, minyak, telur, dan vanillah.


Dengan menggunakan kelajuan yang perlahan, tuangkan bahan-bahan buttermilk ini ke dalam mangkuk pemukul telur itu.


Kemudian tuangkan kopi yang suam ke dalam mangkuk pemukul telur, dan matikan (off) pemukul telur itu.


Gunakan sudip plastik, kacau semua bahan-bahan.


Tuangkan adunan ke dalam 2 acuan kek dengan membahagikan sama rata.  Untuk memudahkan, anda bolehlah meletakkan kertas alas di bawah acuan kek.


Masukkan dalam ketuhar dan bakar antara 25 hingga 30 minit.  Apabila telah masak, cucuk dengan lidi untuk pastikan kek telah betul-betul masak.  Keluarkan, dan sejukkan betul-betul sebelum menyapu icing.




Bahan-bahan membuat chocolate frosting:


170 gram semi sweet chocolate
226 gram butter unsalted
1 kuning telur daripada telur yang besar, suhu bilik
1 sudu teh essen vanilla
1 1/4 cawan gula icing
1 sudu besar kopi segera ((saya gunakan Boncafe - Mocha)




Cara-cara membuatnya:


Cairkan cokelat dengan menggunakan double boil.  Setelah cair, ke tepikan untuk disejukkan.


Dalam mangkuk mesin pemukul telur dan menggunakan paddle attachement, masukkan butter dan putar pada had laju sederhana lebih kurang 3 minit, hingga ringan dan keputih-putihan.


Seterusnya, masukkan kuning telur dan essen vanilla dan putar lagi selama 3 minit.


Perlahankan had laju, dan masukkan gula icing.  Kemudian putar semula pada had sederhana.


Bancuhkan kopi segera bersama dengan dua sudu makan air panas.


Perlahankan had laju pemukul telur, dan masukkan cokelat yang telah disejukkan dan seteruskan kopi yang telah dibancuh dengan air.


Gunakan sudip plastik dan gaul rata.


Letakkan sebuah kek di atas pinggan atau cake stand.  Lapikkan antara kek dan pinggan dengan kertas-kertas kecil.  Ini untuk memudahkan anda menyapu icing, dan tidak kotorkan pinggan. 


Sapukan sedikit icing di atas kek.  Kemudian letakkan kek yang kedua. Sapukan di atasnya. Kemudian di tepi kek dan seterusnya hinggalah seluruh kek disapu dengan frosting cokelat.


Tarik kertas-kertas kecil yang di bawah kek.  Pinggan atau cake stand tidak akan kotor.


Selamat mencuba.


Wassalam.