Monday 4 June 2012

MUFFIN BLUEBERRY

Assalamu'alaikum para pembaca.


Hari ini hari pertama saya betul-betul cuti sekolah.  Memang tidak ada rancangan untuk keluar.  


Berapa hari yang lepas, Cikgu Is ada beritahu akan singgah ke rumah saya untuk kembalikan bekas kek.  Hmmm terfikir-fikir, tercongak-congak, terkira-kira...  Hendak siapkan juadah apa ya?


Maklumlah, rumah beliau sentiasa mempunyai menu yang hebat-hebat.  Jikalau sediakan juadah berat-berat, pasti beliau sudah terlalu kenyang, kerana mungkin beliau sudah sarapan di rumah. 


Saya teringat resipi muffin Ina.  Saya sudah simpan tetapi belum mencubanya.  Yang seronoknya, adunan ini boleh disimpan di dalam peti ais setelah ianya siap diadun.


Dengan penuh ghairah, saya beli bahan-bahan semalam.  Selepas maghrib saya mula membancuh.  Setelah siap saya cuba bakar 3 dahulu.  Hmmm memang enak muffin ini.  Lembut. 


Sejam sebelum Cikgu Is sampai saya bakar adunan ini.  Beliau sampai bersama 'Aufa. 


Di bawah ini saya sertakan resipinya:


Bahan-bahannya:


170 gram unsalted butter, dalam suhu bilik.  (Sekali lagi saya gunakan jenama Anchor).


1 1/2 cawan gula (saya gunakan gula caster)


3 biji telur yang besar, suhu bilik


1 1/2 sudu teh essen vanilla


1 cawan sour cream


1/4 cawan susu segar


2 1/2 cawan tepung 


2 sudu teh baking powder


1/2 sudu teh baking soda


1/2 sudu teh garam halus


3 pint blueberry (kalau kita beli di pasaraya, ianya dijual dalam kotak plastik yang kecil. Saya beli 3 kotak).




Cara-cara membuatnya:


Panaskan ketuhar pada 177 darjah selsius


Siapkan acuan kek kertas muffin. Saya gunakan yang berlilin, makanya tidak perlu di letak di dalam "muffin tin".


Masukkan butter dan gula ke dalam mesin pemutar telur.  Dengan menggunakan paddle mixer, putar dengan had laju sederhana hingga adunan ini ringan dan gebu keputih-putihan.


Perlahan had laju mesin pemutar telur ini, dan masukkan telur satu persatu.  


Kemudian masukkan susu segar, sour cream dan vanilla.


Dalam bekas yang lain, ayak tepung, baking powder, baking soda dan garam.


Perlahankan mesin pemukul telur, dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.  Setelah semua tepung masuk ke dalam mangkuk pemukul telur, matikan (off) mesin ini. Jika anda putar mesin ini terlalu lama, adunan akan keras.


Keluarkan mangkuk pemukul telur ini.  Dengan menggunakan sudip plastik, gaul adunan perlahan-lahan. Kemudian, masukkan blueberry ke dalam adunan tadi.


Tuangkan adunan ini ke dalam acuan kertas berlilin (jika anda ada acuan muffin boleh gunakan).  Tuang dalam ukuran tiga suku sahaja.  Kerana adunan ini akan naik dan mengembang.


Bakar selama 25 hingga 30 minit atau semasa anda periksa, cucuk tengahnya dengan lidi.  Jika lidi keluar bersih, sudah masaklah nampaknya tu.


Cubalah.  Enak.  Oh ya, rasanya tidak begitu manis.  Baik untuk mereka yang menjaga kesihatan.


Selamat mencuba.  Wassalam.