Monday 18 June 2012

KEK PISANG

Assalamu'alaikum 

Semoga yang sedang membaca, sihat sejahtera.

Kek Pisang.  Hmm, nampaknya macam mudah sahaja.  


Tetapi seperti yang kita semua sedia maklum, untuk seseorang itu menikmati kek pisang, kek ini mesti ada ciri-ciri yang tertentu, agar si pemakan kek itu, akan jatuh cinta, dan tidak akan berhenti makan kek pisang tersebut, hinggalah kek itu habis.  Barulah boleh dinamakan Kek Pisang yang hebat.


Sebelum saya berkongsi resipi kek pisang ini, saya hendak kongsi cerita sedikit.  Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah syarikat yang mengendalikan Conference.  Pada hari pertama saya, adalah hari terakhir pegawai yang telah letak jawatan, di mana tempatnya, saya yang akan gantikan.

Memang sudah jadi trend di firma tersebut, apabila hari terakhir, rakan-rakan yang lain akan sediakan sedikit jamuan untuk pegawai yang telah meletak jawatan.  Maka pendekkan cerita, hari tersebut ada jamuan kecil. Antara yang mereka sediakan adalah Kek Pisang, yang mereka beli dari Hotel Mandarin.  Wah, kek dari hotel, masakan tidak hebat?!

Dengan murah hati, mereka menghulurkan kek itu kepada semua yang hadir.  Di antara komen mereka adalah:

Wah, so nice!  Wah, soft!  Wah, so moist!

Air liur siapa tak terkecur melihat kek yang enak, bau yang wangi dan puji-pujian yang diberikan.

Sedang kek itu dihulurkan ke arah saya, tiba-tiba saya teringat.  "Kalau kek ini dari hotel, sedap, lembut dan lembab, hmmm mesti ada letak arak!"

Lantas apabila kek itu sampai kepada saya, saya menolaknya dengan sopan, dengan mengatakan saya tidak gemar kek pisang.

Sejak dari peristiwa itu, saya memang tidak berani makan kek yang dari hotel yang tidak ada label halal.

Akhirnya, saya selalu beli kek pisang yang dijual di gerai2, terutama di KL.  Kek pisangnya agak terkenal.  Yang mengenalkan kek ini kepada saya adalah Eznillah, rakan saya.  Masa itu kami sama-sama ke KL.  Keknya agak enak, sedap.  Namun, pada pendapat saya, kurang lembut.

Beberapa bulan yang lepas,  saya telah meminta jasa baik rakan saya, Puan Salamah untuk berikan saya resipi kek pisang.  Beliau telah berikan dan saya cuba.  Hmm tidak tahu di mana silapnya, kek ini tidak menjadi.  Mungkin saya salah bahan atau salah tatacara, akhirnya, kek itu masuklah dalam tong sampah. Hmmm

Lantas saya merajinkan jari-jemari saya untuk melungsuri internet.  Saya terjumpa di salah satu lelaman sesawang, yang mengajar bagaimana untuk membuat kek pisang.

Resipinya, memerlukan butter yang dicairkan.  Hmmm, tak pernah buat, seram juga.  Maklumlah, saya bukanlah seorang profesional. 

Tapi, kata orang, tidak cuba tidak tahu.  Saya pun terus membuatnya.  

Setelah kek itu siap dibakar dan disejukkan.  Saya pun mulalah memotongnya dan merasanya.

Aduh, minta ampun sedapnya!  (Dialog Puan Asmah Laili)

Lembut, enak, lembab dan ringan!

Terima kasih kepada yang sudi berkongsi resipi.  Namun, mohon maaf, saya lupa alamat lelaman sesawangnya.

Inilah resipi Kek Pisang.

Bahan-bahannya:

100 gram butter (Seperti biasa saya gunakan jenama Anchor Unsalted.  Dengan api yang sederhana, butter ini hendaklah dipanaskan hingga tiga suku cair. Matikan api dan goyang-goyangkan pan anda hingga bahagian yang panas dapat mencairkan lebihan butter yang belum cair.  Seorang rakan sepejabat, Puan Salamah, yang berkongsi cara ini dengan saya.)

3 biji telur (yang bersaiz besar)

150 gram gula (anda boleh kurangkan ke 130 gram jika tidak suka manis)

200 gram pisang dipotong kecil-kecil.  (lebih kurang 3 biji pisang Del Monte.  Gunakan yang 3/4 masak.  Jika mentah sangat, kelat, jika masak sangat, pisang sudah kurang cantik).

150 gram tepung.

1/2 sudu baking powder.

1/4 sudu baking soda

1 sudu teh vanilla

Cara-cara membuatnya:

Panaskan ketuhar pada 160 darjah selsius.

Sediakan acuan.  Sapukan butter dan taburkan tepung pada acuan.  Di sini saya ingin kongsi sesuatu.  Saya tidak ikut seperti yang diarahkan oleh resipi yang asli.  Saya tidak gunakan acuan bulat berukuran 8 inci.

Tetapi saya gunakan acuan yang pakai buang, alumuminium baking tin, yang empat persegi panjang.  Macam yang digunakan untuk masak roti.  Ini kerana saya telah mencuba kedua-dua jenis acuan, iaitu yang bulat dan yang empat persegi ini, namun, kek yang saya bauat dengan mengguakan acuan empat persegi, adalah lebih ringan dan lembut.  Jika anda mahu gunakan acuan bulat, gunakan acuan yang berukuran 8 inci.

Ayak tepung, bersama dengan baking powder dan baking soda.

Masukkan telur dan gula ke dalam mesin pemukul telur.  Dengan menggunakan had yang laju, pukul telur dan gula.  Setlah 3 minit, masukkan pisang sedikit demi sedikit. Hati-hati semasa masukkan pisang, kerana adunan telur dan gula akan terperecik.  Pukul lagi sehingga semuanya kembang. Jika anda gunakan pemukul telur KENWOOD, pukul lebih kurang sepuluh hinggga tiga belas minit).

Padam mesin pemukul telur.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan dan gaul (fold in) higga rata.

Masukkan butter yang telah dicairkan.  

Masukkan vanilla.

Tuang ke dalam tin pembakar kek. 

Bakar di dalam ketuhar lebih kurang 40 hingga 45 minit, atau apabila dicucuk di tengahnya, lidi pencucuk itu kering.

Sejukkan dan bolehlah dinikmati.

Selamat mencuba.

Wasslaam.








Yang ini hanyalah hiasan.  Saya sirakan siraman kastard dan hirisanpisang.  Anda boleh dapatkan resipinya pada perisian blog saya sebelum ini.  Memang enak dimakan.