Sunday 27 May 2012

CARBONARA

Assalamu'alaikum

Hari ini pagi Ahad.  Walau pun jadual agak padat, saya masih ada sedikit waktu untuk kemaskinikan blog.

Semenjak cuti sekolah bulan Disember 2011, saya telah "terjumpa" saluran Foodnetwork di saluran 433 di televisyen saya.  Selama berbulan-bulan saya tidak perasan saya ada saluran tersebut.

Mulai dari hari tersebut, saya seolah-olah melekat pada saluran tersebut.  Celik sahaja mata, terus buka saluran tersebut.  Banyaklah ilmu dan resipi yang saya kumpulkan.

Ada suatu resipi yang sudah lama saya idam-idamkan.  "Carbonara".  Beberapa tahun yang lalu, rakan saya Rizwan, ada belanja makan di Breeks.  Itulah pertama kali betul-betul dapat rasa carbonara.  Enak.  Udangnya banyak.  Harganya pun boleh tahan. Kalu tak salah dalam $18.00.  Pheww....

Fikir beberapa kali untuk ke sana lagi.

Berbalik pada saluran tv.  Sedang saya menoton, (salah satu rancangan yang amat saya gemari adalah Barefoot Contessa yang dihoskan oleh Ina Garten) saya lihat Ina sedang menunjukkan cara membuat carbonara.

Senang rupanya.  Tapi kalau makan di restoran, terkopak lah duit.

Di bawah ini saya cuba senaraikan resipinya yang telah saya olah semula.  Tetapi anda boleh gunakan inisiatif untuk menambah atau mengurangkan bahan-bahannya, kerana semasa saya masak, saya tidak ikut resipi.  Cuma, agak-agak sahaja.

CARBONARA UDANG

Bahan-bahannya.

Setengah paket pasta farfalle = bow ties = bow-tie pasta = bows =  butterfly pasta  Pasta ini ada macam-macam nama.  Saya gelar pasta reben sahaja.  Jika hendak masak banyak tambah sahaja dan sebliknya.  Anda juga boleh gunakan pasta yang lain.  Saya suka pasta ini untuk carbonara sebab, semasa makan, apabila kita mengambil dengan sudu, boleh ambil kuah dan udang sekali.  Rebus pasta hingga betul-betul empuk.  Kalau orang Itali, mereka suka eldente.  Keadaannya sudah masak tapi agak kenyal sedikit.  Terpulanglah mana yang anda suka.  Bubuh garam dan sedikit minyak agar ia tidak melekat.  Kacau dari masa ke masa.  Toskan setelah masak. 

PESANAN:  JANGAN BASUH PASTA YANG BARU MASAK DENGAN AIR SEJUK.  Ini kerana kanji yang ada akan hilang, nanti bila dibubuh kuahnya, ia tidak akan melekat.

250 gram udang sedar.  Saya suka yang sederhana besarnya.  Jangan terlalu besar.  Jangan terlalu kecil.  Sedap dan mudah dimakan.  Bite size.

(Udang ini digoreng dahulu.  Bubuh sedikit minyak zaitun.  (Kalau rasa minyak zaitun mahal sangat, gunakan sahaja, minyak masak biasa.  Semasa goreng taburkan sedikit garam dan serbuk lada hitam.  Goreng hingga udan itu merah dan angkat.)

2 cawan susu segar.

1 sudu makan butter

1/2 cawan keju parmesan diparut

1/2 cawan keju cheddar diparut.

1/4 cawan keju biru 

(anda boleh tambah mana-mana keju.  Tapi keju biru, bagi saya, adalah kemestian.  Sebab rasa dan aromanya, memainkan peranan)

1 sudu makan tepung gandum.

2 sudu makan sour cream.

1/2 hingga satu biji buah lemon.  Terpulang, anda suka masam atau tidak.  (Parut kulit luarnya dan perah jusnya.  Bila parut, jangan sampai terparut bahagian putih.  Pahit).

1 tin cendawan butang.  (Ini, sahabat saya, Madam Baizah yang beritahu.  Beliau masak gunakan cendawan butang.  Saya pula cadangkan beliau tambahkan udang.  Kini saya kombinasikan kedua-dua sekali.  Madam Baizah juga suka masak carbonara.  Sebab Hadi suka makan.  Cuma, Madam beli yang siap dari botol.  Hehehe)

Garam

Sebuk lada hitam.

Saya tidak pernah gunakan serbuk perasa.  Takut..... 


Cara-cara membuatnya (Alahai, senang sahaja.......)

Panaskan butter di dalam kuali.  Saya gunakan kuali non-stick.  Ingat, semasa panaskan butter, api mesti sederhana.  Jangan panas sangat, hingga butter hangus.

Setelah itu, masukkan tepung dan kacau segera. 

Setelah itu masukkan susu dan kacau hinggal tepung dan mentega larut.

Masukkan keju, garam serbuk lada hitam.  

Masukkan sour cream, parutan lemon dan jus lemon.

Masukkan cendawan.

Akhir sekali masukkan udang.

Setelah itu kacau hingga mendidih.  Pastikan kuah ini pekat dan tidak cair.

Masukkan pasta. Setelah beberapa minit matikan api.

Jika anda mahukan lebih kuah, tambahkan susu dan tepung.  Tetapi mesti dilakukan pada awal masakkan.  


Semasa hidangkan saya sertakan serbuk cili (chili powder yang dibeli dalam botol).  Maklumlah tekak Melayu.  Jika tidak pedas, tidak sah kan?

Orang pertama yang jadi "taster" adalah Syamil.  Dia singgah semasa hendak belajar memandu.  Dia suka.  Tapi mesti ada chilli flakes. Baru ada "kick".

Bila saya dapat tahu Hadi pun suka, saya panggil dia datang.  Dia memang suka.  

Anda, tunggu apa lagi?  Cubalah.  Dah tak payah hendak ke restoran, buang-buang duit sahaja.  Masak di rumah, berbaloi.  Sekeluarga dapat dijamu. Puas.

SELAMAT MENCUBA!!!

Wassalam.