Sunday 27 May 2012

KEK NENAS

Assalamu'alaikum.

Alhamdulillah.  Di hari minggu ini, cuaca agak redup.  Mungkin dek hujan malam semalam.  Sudah hampir beberapa minggu, cuaca panas membakar.  Kalau jalan dari stesen MRT hingga ke bawah blok, boleh bermandikan peluh!

Selepas kelas tadi, saya singgah di Causeway Point.  Saya ambil peluang membeli beberap perkakas kuih.  Dua dulang buah talam kecil, dua buah tin pembakar yang kecil dan juga tin kuih yang ada lubang tengahnya.  

Kemudian saya cari beg.  Beg dah putus.  Memang sudah beberapa hari aim beg haversack "Outdoor".  Nasib baik Atikah beritahu ada dijual di Causeway.  Alhamdulillah, dapat beg yang saya idamkan.  Penjual itu beritahu, jika dapat kumpulkan 3 resit hinggal $150.00 boleh dapat voucher $10.00.  Hmm, saya macam rasa pembelian saya tidak akan setinggi gitu.

Kemudian terus ke Cold Storage.  Hendak cari buttermilk.  Kalau sempat hendak buat Orange Individual Cake, resipi, Ina Garten, dari Barefoot Contessa.  

Sampai di Cold Storage bukan sahaja beli buttermilk, malahan macam-macam.  Susulah, dark chocolate lah, kemudian nampak pie crust Graham.  Dah beberapa hari cari Graham Crakers, tak jumpa-jumpa.  Sekarang nampak pula pie crust Graham.  Senanglah tidak payah buat crust sendiri.  Beli yang sudah siap.  Nanti boleh beli cheese dan strawberry.  Hendak buatkan Hadi Strawberry Cheesecake.  Tapi tidak tahu bila.... haiz...  Harus beritahu Hadi dahulu, takut-takut dia ada duty, dia tidak balik.  Tidak mengapa, beli crustnya dahulu.  Bila bayar, terperasan resit lebih kurang $40.00.  Tambah resit Metro dan beg, sudah lebih daripada $150.00!  Apalagi bergegas semula ke atas dan terus ambil voucher, alhamdulillah.

Bila pulang ke rumah, saya terus teringat tentang Kek Nenas, atau dalam bahasa Inggeris Pineapple Upside Down Cake.  Sebenarnya, saya sudah lama "berdendam" hendak buat kek ini.  Tetapi sejauh ini, cuma jumpa resipi dalam bahasa Melayu.  Dan bahan-bahannya tidak meyakinkan.  Mungkin itu nasib saya.

Tetapi beberapa bulan yang lepas, saya layari internet, dan terjumpa sesawang Joyofbaking.com.  Banyaknya resipi!  Ada yang agak mudah untuk kita ikuti!  Saya pun pilih untuk menonton video bagaimana hendak membuat Pineapple Upside Down Cake.

Sejauh ini, resipi kek yang saya temui, banyak menyuruh kita memukul telur hingga naik tinggi.  Tetapi untuk resipi orang barat, mereka hanya gunakan kaedah itu apabila hendak mempuat Sponge Cake.  Untuk Butter Cake, mereka tidak perlu memukul telur begitu lama.

Alhamdulillah, hajat henda buat Pineapple Upside Down Cake tercapai.  Tetapi, saya ingin kongsi pengalaman pertama saya.  Percubaan pertama, hampir-hampir gagal.  Setelah siap kek dibancuh dan dimasukkan ke dalam ketuhar, saya tidak ikut masa dan kepanasan yang telah diberikan.  Saya keluarkan terlalu awal. Apabila diterbalikkan, kek nampak cantik.  Tetapi apabila dicucuk, dalamnya belum masak.  Apa lagi, kelam kabut saya memasukkan semula ke dalam ketuhar.

Oleh itu, saya berpesan. Ikut arahan.  InsyaAllah, kek akan menjadi.

RESIPI KEK NENAS (PINEAPPLE UPSIDEDOWN CAKE)

Untuk Bahagian Atas

55 gram butter. (Gunakan unsalted.  Dan seperti biasa untuk dapat keenakan saya gunakan Anchor.  Tetapi anda bebas menggunakan apa-apa butter sekali pun)

160 gram light brown sugar

1 tin nenas (Saya beli yang telah dipotong bulat)

Beberapa biji buah cherry (Saya beli yang dalam botol)


Untuk Bahagian Kek.

195 gram tepung

2 suduh teh serbuk penaik.

1/4 sudu teh garam

113 gram butter (unsalted)  dalam keadaan suhu bilik

200 gram gula.  (Anda boleh kurangkan jika tidak suka manis.  Semasa saya bawa ke sekolah, Ustadzah Muayanah beritahu, kek ini terlalu manis.  Lantas pada percubaan seterusnya saya kurangkan gula.  Tambahan lagi, saya tukar kepada gula kaster.  Kerana gula kaster halus dan kek naik ringan)

1 sudu teh vanilla.  (Di sini saya ingin peringatan anda semua.  Dalam resipi sebenarnya, mereka gunakan pure vanilla extract.  Pada mulanya saya memang ikut betul-betul resipi ini.  Tetapi apabila saya terbaca pada botol pure vanilla extract, ianya mengandungi alkohol.  Saya terus buang botol tersebut. Tidak berani saya hendak gunakan lagi.  Saya gunakan yang ada cop Halal sahaja).

2 butir telur.  Pisahkan putih daripada kuning telur.  Saya gunakan telur yang besar, bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

120 ml susu segar.

(Dalam resipi asal ada menyuruh kita meletakkan "cream of tartar".  Saya pun gunakanlah.  Memang kek jadi lembut dan kuat.  Kerena ia akan membantu dalam memuku putih telur.  Tiba-tiba Allah gerakkan hati saya, untuk sekali lagi baca bahan-bahan yang digunakan untuk membuatnya.  Alangkah terkejutnya saya!.  Rupanya ia diperbuat daripada kerak di tepi tong membuat arak!  Saya pun buang kek yang telah saya buat.  Pada masa seterusnya saya tidak lagi menggunakan cream of tartar)

Cara-Cara Membuatnya:

Panaskan ketuhar pada suhu 177 darjah selsius.  Letakkan rak pada bahagian tengah ketuhar.

Sapukan butter dan taburkan pada tin pembakar yang bulat berukuran 9 inci.

Keluarkan nenas dari dalam tin dan toskan.  

Masukkan butter dan brown sugar ke dalam saucepan.  Gunakan api sederhana.  Kacau sedikit dan biarkan gula larut.  Setelah gula larut, jagan kacau lagi, tetapi biarkan sahaja hingga ianya larut dan berbuih.  Jika terlalu banyak kacau, gula akan jadi kristal.  Jika mahu bolehlah goyang-goyangkan saucepan itu.  Matikan api.

Tuang gula cair itu ke dalam tin pembakar tadi.  Kemudian susun nenas yang telah ditos tadi.  Susun buah ceri ke dalam bahagian lubang nenas dan mana-mana bahagian yang anda suka. Lakukan ini cepat sedikit sebelum gula tadi sejuk dan keras.

Dalam sebuah mangkuk, ayak tepung, serbuk penaik dan garam.

Dalam mangkuk pemukul telur pukul putih telur sehingga naik dan menjadi pekat.  Setelah itu pindah ke mangkuk yang lain.  (Saya cuma ada satu mangkuk pemukul telur.  Jika anda ada lebih daripada satu mangkuk, anda tidak perlu pindahkan, cuma tukar mangkuk sahaja).

Setelah itu masukkan butter dan gula.  Pukul sehingga ringan dan putih.  Pastikan anda gunakan sudip plastik dan kaup bahagian tepi mangkuk pemukul telur agar telur dan gula betul-betul dipukul rata.  Kemudian masukkan vanilla.

Perlahankan had laju pemukul telur, dan masukan telur satu persatu.  Setelah sebati, hentikan pemukul telur.

Masukkan sebahagian adunan tepung.  Gaul perlahan-lahan.

Kemudian masukkan sedikit susu.  Sama juga gaul perlahan-lahan.

Masukkan lagi adunan tepung.  Gaul.  

Masukkan lebihan susu.

Akhir sekali masukkan adunan tepung.  Pastikan adunan tepung adalah yang terakhir.

Senang cakap, Tepung tiga kali, susu dua kali.

Jangan lupa putih telur.  Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan gaul perlahan-lahan.  (Pernah saya buat kek ini, saya lupa hendak masukkan putih telurnya.  Kelam kabut saya dibuatnya.)

Setelah itu, tuangkan adunan kek ini ke dalam tin yang telah disusun dengan nenas dan ceri tadi.

Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 45 hingga 55 minit.  Apabila agak-agak sudah masak, cucukkan lidi.  Tapi jangan terlalu dalam, kerana akan tercucuk nenas di bawah tin.

Jika lidi itu keluar bersih, beerti kek sudah pun masak.  Keluarkan dari ketuhar.  Biarkan sejuk selama 10 minit.

Ambil piring kek stand atau piring yang lebih besar daripada tin pembakar, dan telangkupkan cake stand atau piring besar di atas tin pembakar.

Terbalikkan perlahan-lahan.  Bacalah bismillahirrahmanirrahim.  Mudah-mudahan kek keluar dengan cantik.  

Apabila sudah terletak di atas cake stand atau piring, pasti anda akan bersyukur dan tersenyum.

Kepada anda yang tidak suka nenas, boleh tukarkan kepada buah peach.  Saya gunakan slice peach dalam tin.  Sama juga, toskan dan susun ikut suka hati anda. Sertakan dengan buah ceri juga.  Ia akan bertukar nama kepada Peach Upside Down Cake!

Ok.  Cerita saya belum tamat lagi.

Semasa saya menonton rancangan Paula's Best Cooking, oleh Paula Dean, beliau telah menunjukkan cara menghidangkan Pineapple Upside Down Cakenya.

Untuk menghidangnya, Paula Dean menggunakan kastad.  Beliau masak kastad.  Paula memotong kek dan meletakkan seulas kek di atas piring.  Kemudian beliau siram kastad yang hangat itu ke atas kek.  Wah, enaknya! Idea baru.

Tetapi pada pandangan saya kastad itu kosong sahaja, saya cuba pelbagaikan.

Ingat, kek daripada tepung.  Kastad pula daripada tepung telur dan susu. Mungkin akan memuakkan.

Saya tukar sikit.  Di bawah ini saya sertakan resipinya.

SIRAMAN JAGUNG.  

1 tin atau 1 kotak jagung (whole corn). Ada yang dijual dalam tin ada yang dijual di dalam kotak.  Toskan jagung ini.

1 tin atau 1 kotak jagung (cream corn).

1 cawan susu segar atau boleh juga gunakan susu sejat.

Gula dan garam secukup rasa.

1 sudu kecil essen vanilla.

Masukkan semua bahan-bahan ini ke dalam saucepan.  Masak dengan api sederhana. Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih.  Oh ya, lupa, essen vanilla hanya dimasukkan setelah bahan ini mendidih dan seminit sebelum anda tutup api.

Sejukkan sedikit dan siramlah ke atas kek yang anda hendak hidangkan.  Jika boleh, hidangkan kek ini semasa hangat lagi.  Enak rasanya!

Saya pernah berikan Hadi Peach Upside Down Cake bersama siraman jagung ini.  Madam Baizah beritahu, semasa makan dia terus berkata, "Sinful food, sinful food".  Namun, dia terus menghayun kek dan siraman jagung itu ke dalam mulutnya.  Hadi, Hadi..... :)


Jikalau Hadi "kalah" dengan kehebatan kek dan siraman ini, anda tunggu apa lagi?  Ayuh cepatlah mencubanya.

SELEMAT MENCUBA DAN SEMOGA BERJAYA!  

Wasslaam.


Inilah Pineapple Upside Down Cake Saya.


Inilah Peach Upsidedown Cake Saya.








Inilah siraman jagung ke atas kek.