Monday 21 May 2012

MUKADDIMAH

Assalamu'alaikum.

Seronok rasanya dapat menulis semula.  Setelah sekian lama membisu dan menghentikan jari-jemari ini daripada menaip, kian hari kian rindu untuk menulis semula.

Kali ini, saya tidak mahu menulis keadaan harian saya.  Tetapi, kali ini saya ingin catitkan aktiviti yang berlaku di dapur saya.

Saya ingin agar ianya tercatit, dan pembaca dapat membacanya.  Resipi dapat dikongsi bersama, dalam masa yang sama dapatlah saya menyimpannya di blog ini, agar ianya tidak hilang.

Masih teringat lagi.  Arwah ibu, sangat rajin menyimpan resipi.  Beliau akan tulis bermacam-macam resipi di dalam buku catitan.  Ibu juga sangat rajin pergi ke kelas-kelas memasak dan membuat kuih.  Maklumlah, beliau hanya belajar memasak daripada ibunya, nenek saya, yang saya panggil Mak Tok.

Namun, segala-galanya sudah berbeza.  Resipi pun sudah ada yang bermacam-macam.

Saya tidak lupa.  Semasa kecil mula-mula "belajar" masak dan buat kuih daripada arwah ibu.  Kami tinggal di dalam sebuah rumah panggung. Kepunyaan arwah datuk, yang saya panggil Bak Tuk.  (Tetapi saya tidak sempat berjumpa dengan beliau kerana beliau meninggal dunia sebelum saya dilahirkan.).

Ada 4 keluarga tinggal di dalam rumah besar itu.  Hinggalah tahun 1974, kami semua terpaksa pindah ke rumah flat, kerana kawasan Ellis Road, akan dibangunkan sebagai sebuah bandar.  Ianya terlalu dekat dengan Orchard Road.

Ok, ok dah malam, lain kali saya sambung lagi.

Wassalam.