Saturday 26 May 2012

KETAM MASAK LEMAK CILI - ALA CIKGU

Assalamu'alakum pembaca semua.

Hmm, cari punya cari, saya terjumpa resipi yang pernah saya tulis dahulu.  Lau Ketam Masak Lemak Cili.

Cara masak lemak ini pun, saya kumpulkan daripada beberapa orang.  Sudah tentu orang pertama yang mempengaruhi saya, adalah arwah ibu.  Namun, arwah ibu memasak tidak ikut sukatan.  Dan pada masa itu, saya masih kecil lagi.  Saya kurang berminat dengan memasak.

Namun, apabila saya telah tinggal dengan Ustadz Norazman, saya mula berasa minat untuk mempelajari lauk ini.  Seperti yang saya pernah beritahu, Ustadz orang Negeri Sembilan.  Makanya, Lemak Cili Api, sudah macam agak sinonim dengan beliau.

Ustadz ada mengajar saya cara memasaknya.  Namun, ustadz gemar gunakan bawang kecil sebagai bahan masakkannya.  Dan sudah tentu cili padi atau cili api sebagai bahan utamanya.  Saya pula pada masa itu, ada berbual dengan Cik Nom, ibu saudara saya.  Beliau adalah suri rumah sepenuh masa.  Pengalamannya sudah tentu hebat.

Saya cerita dengan Cik Nom tentang masakan ustadz. Masalahnya, apabila saya makan lauk yang berasaskan bawang kecil, baju yang saya pakai menjadi kuning.  Pada mulanya, saya tidak perasan.  Tetapi setelah beberapa kali, saya maklumkan kepada ustadz.  Dan makan lauk lemak yang dibubuh cili api ini, memanglah hebat! Pedas dan enak.  Tetapi, perut panas, dan jika terlalu pedas, boleh buang-buang air.

Apabila saya ceritakan kepada Cik Nom, Cik Nom cadangkan saya tukar cili padi kepada cili merah.  Pada mulanya, saya ragu. Tetapi setelah saya cuba, berbaloi!

Di sekolah, saya adalah cerita-cerita lauk lemak ini kepada kawan-kawan.  Pada masa itu, Ustadzah Maizurah, yang beminat.  Kami pun bercerita.  Beliau minta saya tuliskan resipinya.  Wah, apabila sudah cuba di rumahnya, beliau puas hati!  Katanya, resipi saya sudah sampai ke Pulau Pinang!  Hahaha.

Ok, itulah serba sedikita cerita tentang lauk saya kali ini.  



KETAM MASAK LEMAK CILI - ALA CIKGU

Bahan-bahnnya.

2-3 ekor ketam biru. Dibelah dua dan dibersihkan. Bilas dengan garam untuk hilangkan baunya.

2 labu bawang besar.

5 hingga 6 ulas bawang putih.

7 hingga 8 batang cili merah (hidup). Jika suka pedas boleh ditambah.

Halia sebesar ibu jari.

Lengkuas sebesar ibu jari.

2 sudu makan kunyit serbuk. Ada orang suka gunakan kunyit hidup. Saya tidak suka kerana ini akan mengotorkan alat pengisar saya.

2 helai daun kunyit. Cuci, diikat. Saya lebih suka mengguntingnya lebar-lebar.

5 hingga 7 helai daun limau purut dibasuh dan dikoyakkan sikit untuk dapatkan baunya.

2 batang serai (beli yang gemuk sikit.) Dititik.

1 kotak santan. Kalau dapat, gunakan sebiji kelapa dijadikan santan.

Garam secukupnya.

Minyak untuk menumis.


CARA MEMBUATNYA.

1. Bawang besar, bawang putih, cili merah, halia, lengkuas, kisar hingga halus.

2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar.

3. Masukkan kunyit dan serai. Tumis sehingga garing. Jangan sampai hangus.

4. Masukkan santan dan air secukupnya.

5. Masukkan daun kunyit dan daun limau.

6. Masukkan garam. Kacau hingga mediih.

7. Terus kacau untuk elakkan pecah minyak/santan. Masukkan ketam yang telah dibasuh tadi.

8. Terus kacau hingga ketam masak (bertukar warna merah).  Pastikan ianya masak dengan betul, jika tidak isinya mentah.  Tidak elok.

9.   Rempah Lemak Cili ini juga boleh digunakan untuk udang dan ayam. Cuma kalau udang saya akan sertakan telur puyuh dan nenas. Sedap. Terkecur air liur. Hehehe. Untuk ayam, saya akan goreng jangan sampai garing. Barulah dimasukkan ke dalam kuah lemak.

CADANGAN UNTUK HIDANGAN

Boleh dihidangkan bersama sambal belacan (jangan lupa perahkan limau sambal).  

Boleh juga sertakan tempeh goreng. Saya pula suka tempeh ramas. Senang sahaja buatnya.  Goreng tempeh garing-garing. Ramas dengan sambal belacan dan hirisan bawang. Siap untuk dijamu.  Kalau berani masih, boleh tambahkan ikan bilis goreng yang telah ditumbuk kasar.

SELAMAT MENCUBA!!!

Wassalam.