Monday 28 May 2012

KAMPUNG ELLIS ROAD

Assalamu'alaikum

Nak tidur tetapi mata tidak mahu lelap.  Oklah saya ambil keputusan untuk kongsi lagi resipi yang saya ada.

Oh ya, lupa hendak beritahu.  Saya ni, memang "hantu kuih".  Saya masih ingat lagi, semasa di tinggal di kampung Ellis Road. Di pasar ada gerai yang menjual Mi Rebus Wal Seman, Gerai Lontong Wak Sumi, Gerai Lontong Wak Getuk yang kemudian digantikan dengan Gerai Lontong Wak Katijah Pardan.  Tetapi yang menjadi idaman dan sasaran saya, adalah gerai kuih Wak Salamah.  Wak Salamah ini jiran saya juga.  Wak atau Nyai Salamah ini orang Jawa.  Cakap masih slang Jawa dan banyak perkataan Jawa yang digunakannya.

Beliau ada membuat kuihnya sendiri.  Yang lain Nyai Salamah ambil dalal (jualkan kuih orang lain dan dia ambil sedikit untung).  Kuih yang Nyai Salamah buat adalah Pulut Serunding dan Pulut Urap.  Enak tak terkata. Saya belum jumpa Pulut Serunding dan Pulut Urap yang sama hebatnya seperti yang dibuat oleh Nyai.

Sebelah rumah Nyai Salamah adalah rumah bapa saudara saya, saya panggil Wak Salleh.  Wak Salleh adalah abang ayah saya lain ibu.  Beliau adalah seorang polis pencen. Dulu kalau orang Melaka jadi polis dipanggil Mat Kampau. Kenapa? Tak tahu.


Oleh kerana sudah pencen beliau jual goreng pisang.  Aduh!!! Enak!!! Gemuk-gemuk.  Tak jumpa goreng pisang seperti itu lagi.  Garing.  Pisang kepuk di belah dan disumbat tengahnya dan digoreng di dalam kuali yang penuh dengan minyak panas. Tepungya lemak dan rangup.  Fuuh!!!  Goreng pisang juga akan dijual di gerai Nyai Salamah pada paginya.


Isteri Wak Salleh adalah Wak Kamsi, atau kami panggil Leksi.  Leksi ni pula sudah agak berumur.  Tapi jual naga sari.  Bila petang, dia akan masak tepung naga sari.  Kami akan datang mengecek tepung yang menjadi kerak.  Dia tak lokek.  Dia akan bungkuskan di dalam daun pisang.  Enak.  Lemak.  Naga Sari juga akan dijual di gerai Nyai Salamah esoknya.



Di seberang rumah saya, ada seorang lagi nenek.  Mak Neru.  Orang Bawean.  Mak Neru hanya menjual apam.  Mak Neru akan buat apam mulai tengah hari.  Dengan hanya menggunakan tangan apam akan dikacau dan dipukul dengan tangan sahaja.  Bila senja, dia akan kukus apamnya.  Kami akan datang minta beli panas-panas.  Beliau akan marah sebab apam adalah untuk dijual esok di gerai Nyai Salamah.  Tapi beliau baik hati.  Dijualnya sedikit untuk kami, budak-budak kecil.  Apa lagi, tak tunggu, terus masuk mulut.  Apam Mak Neru macam magik.  Masuk mulut terus hilang. Sangking lembutnya!!!

Sebelah pintu Mak Neru (ini rumah sewa), adalah bilik Cik Menah Nasi Lemak.  Fuuh.  Tak tau lah macam mana nak jelaskan.  Pagi-pagi Cik Menah akan bungkus Nasi Lemak dengan daun pisang!!!  Kalau beli di rumah Cik Menah, harganya cuma lima belas sen sahaja.  Kalau beli di Gerai Nyai Salamah dua puluh sen.  Kami akan beratur berderet-deret membelinya.

Ada seorang lagi, saya lupa namanya, isteri Encik Kecut.  Makcik ni pandai buat kuih talam ubi.  Cik Mamat, ayah saudara saya, suka Kuih Talam Ubi.  Selalu dia kirim kami membelinya.

Saya tidak ingat siapa lagi yang menghantar kuih-muih di gerai Nyai Salamah.  Tetapi yang saya ingat di gerai itu, mesti ada epok-epok, pulut serunding, lopes, dan beberapa macam lagi.

Namun, itu semua tinggal kenangan dan sejarah.  Pasar Ellis Road sudah tiada lagi.  Kampung Simpang Empat di Ellis Road terpaksa menyerah kalah dengan pembangunan pesat Singapura.  Tahun 1974, kami terpaksa tinggalkan kampung tempat saya dilahirkan dan dibesarkan.

Masjid, rumah, pasar, tempat permainan, sungai, Sekolah Tanglin Besar dan semua jiran-jiran, hanyalah menjadi kenangan.  Oleh kerana saya agak kecil pada masa itu, saya tidak berapa ingat jiran-jiran saya.

Saya lebih lama tinggal di Holland Avenue.  Namun, saya tidak akan lupakan kenangan di Ellis Road yang kini sudah dipenuhi oleh hotel dan bangunan lain.  Kalau anda hendak tahu, Tanglin Mall itu adalah tapak pasar Ellis Road.   :)

Sekian wassalam.