Saturday 26 May 2012

RENDANG

Assalamu'alaikum para pembaca.


Rendang.  Suatu juadah yang tidak asing di kalangan orang-orang Melayu.  Dan ianya juga dikaitkan dengan orang-orang Melayu.  Namun, banyak versi dan berbagai cara masakannya.


Saya tidak tahu bila mulanya saya jatuh cinta dengan lauk rendang ini.  Namun, saya sangat menggemarinya.  Dahulu arwah ibu, kerap juga masak lauk rendang.  Berbagai rendang yang pernah arwah ibu masak.  Kalau yang biasa tu, seperti rendang ayam dan rendang daging lembu. Yang agak lain sikit, seperti rendang ikan.  Yang lebih hebat, rendang udang galah!


Tidak terkata enaknya!  Hingga menjilat jari.  Semasa zaman persekolahan, saya tidak ambi peduli, bagaimana rendang ini dimasak.  Namun, apabila telah ada rumah sendiri, saya terpaksalah belajar memasaknya.


Pada tahun 1997, salah sebuah bilik di rumah saya, disewa oleh seorang ustadz.  Ustadz Norazman.  Beliau rakan sekerja. Alhamdulillah, beliau dapat tinggal di rumah saya lebih kurang setahun lebih.


Bukan sahaja pelbagai ilmu agama yang beliau kongsi, malahan, beliau sangat pandai masak masakkan ala kampung.  Maklumlah, beliau orang Negeri Sembilan.  Tambahan lagi, beliau telah banyak merantau.  Seusia 13 tahun telah duduk di asrama, Sekolah Menengah Agama Wilayah di Labu, Negeri Sembilan. Kemudian, beliau sambung belajar ke KUSZA, dan terus ke UKM.  Orang merantau sudah tentu pandai masak, kerana mereka berdikari.  Maklumlah berjauhan dengan keluarga.


Ustadz selalu masak lauk-pauk orang Negeri Sembilan.  Yang amat terkenal dengan Lemak Cili Api (ada orang panggil cili padi).  Dan juga rendang daging dan rendang ayam.  Namun, saya lihat ada sikit perbezaan daripada segi rempah ratus yang ustadz gunakan dengan rempah ratus yang arwah ibu gunakan.  Cara masakannya juga berbeza.


Setelah mengkaji dan merasa, saya ambil resipi rempah ratus Ustadz, tetapi saya gunakan kaedah masak cara arwah ibu.  Cara ustadz memasak rendang adalah dengan memasukkan kesemua bahan-bahan yang telah dikisar, ke dalam kuali, tambah santan dan terus dikeringkan.  Arwah ibu pula, lain sedikit. Beliau akan tumis rempah ratus tersebut, hingga naik minyak.  Bak kata saudara mara saya di Melaka, 


"Masak kalau tak bunyi "seh", tak sah," hahaha.


Ok di bawah ini saya sertakan resipi Rendang kegemaran saya.





Bahan-bahannya
  
1 kilo daging lembu (gunakan daging goreng, atau kalau hendak cepat, daging batang pinang)
 (kalau rendang ayam, gunakan seekor dan digoreng dahulu, jangan garing sangat)


Bahan-bahan untuk dikisar


2 labu bawang besar

6 -7 ulas bawang putih (saya suka bawang putih lebih sikit)

halia, dalam sebesar ibu jari

lengkuas, sama juga sebesar ibu jari

(kisar semua bahan-bahan ini hingga halus)


Bahan-bahan Lain.

Santan daripada satu setengah biji buah kelapa atau hendak mudah gunakan santan kotak. Saya gunakan dua kotak yang kecil.


2 sudu makan kunyit (saya tidak suka gunakan kunyit hidup, sebab kalau dikisar di dalam mesin blender, nanti mesin itu jadi kuning)


5 sudu makan cili kisar/boh ( ini terpulang ikut suka pedas masing-masing. Boleh tambah boleh dikurangkan)


4 sudu makan gula hitam/timbang ( saya gukanakan gula timbang. Kakak saya yang sulung ajar. Memang, masakan apa pun gunakan gula hitam ini enaknya berbeza.  Saya dapat idea ini daripada kakak saya, Zalina.  Pada suatu hari, beliau ajar saya untuk mendapat keenakkan pada sambal tumis, beliau gunakan gula perang.  Saya ubah sikit gunakan gula hitam. Hasilnya berbaloi!)


Garam secukup rasa. 

Saya tidak pernah gunakan serbut perasa dalam mana-mana masakan saya kerana takut rambut gugur. Hehehe


Semangkuk kecil air asam jawa.


2 batang serai dititik ( yang gemuk sikit. Kalau tak gemuk dan segar, tidak wangi)


5-7 helai daun limau (Ustadzah Maizurah ajar saya agar koyakkan sikit daun ini di bahagian hujungnya agar keluar bau wanginya. Memang benar)


2 helai daun kunyit (penjual Cina pernah beritahu saya, pilih yang kecil sedikit, baunya lebih kuat. Kalau yang besar, baunya kurang. Memang betul)


Kerisik. Saya beli sahaja yang sudah siap. Sepaket cukup.



Cara-cara membuatnya

Kalau ikut teori Ustadz Noraman, semua bahan-bahan ini beserta daging dimasukkan ke dalam kuali dan dimasak hinggalah kering dan akhir sekali masukkan kerisik. Seleasai.


Namun, oleh kerana arwah ayah orang Melaka, (orang Melaka lain saya tidak tahu, tapi ini yang saya sebut ialah ayah saya) suka apa jua masakan ditumis dahulu. Makanya, arwah ibu akan tumis apa-apa pun masakan.


Daging dipotong dan dibasuh, lalu ditoskan airnya.
  
Panaskan minyak. Bahan-bahan yang telah dikisar ditumis dahulu. Masukkan juga kunyit serbuk dan cili kisar/boh dan juga serai.
  
Masukkan gula hitam dan garam. Ibu saya kata, kalau masukkan gula awal-awal kerana ini membantu tumisan cepat garing.
  
Jangan lama sangat kerana takut hangus, nanti pahit. Asalkan sudah naik bau dan naik minyak, cukuplah.
  
Bila bahan tumisan telah naik minyak, dan garing sikit, masukkan air asam. Diikuti santan. Biarkan dia pecah minyak dan mendidih.

Pastikan sudah mendidih barulah masukkan daging.

Kemudian masukkan daun limau dan daun kunyit. Api jangan terlalu besar.

Kacau dan gaul dari masa ke masa untuk mengelakkan dia hangus.

Apabila dah mula hendak kering, masukkan kerisik.

Kacau lagi hinggal kering.

Terpulang kepada anda, jika anda mahu rendang anda kering, keringkanlah. Saya suka yang berkuah sikit, sebab itu saya akan lebihkan bawangnya. Nanti walau pun sudah masak, masih berkuah dan enak dimakan.

Cubalah. Semoga anda berjaya.

Wassalam.