Sunday 27 May 2012

SHEPHERD'S PIE - VERSI CIKGU

Assalamu'alaikum pembaca semua.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi yang agak biasa sahaja.

Tetapi sebelum itu, ada juga ceritanya.  Semasa saya bersekolah dulu, ada kawan yang membawa pie ini ke sekolah sebagai bekal.  Nampak macam berselera, nak tanya malu, apatah lagi hendak minta rasa.  Memang ibu ayah tidak ajar begitu.  Maka telan air liur sahajalh melihat dia terus menyudu pie tersebut dengan penuh selera.  


Arwah ibu pula tidak begitu mahir dengan resipi-resipi barat.  Ahirnya, jadi kenangan sahaja.....

Semasa Madam Natasha sama-sama mengajar di sekolah yang sama, beliau ada membawanya juga. Kalau tidak salah dapatlah rasa sikit.  Beliau ada memberikan resipi.  Maklumlah, beliau orang Erusian, tentu pandai resipi-resipi barat.

Kalau tak salah Madam Norshidah pun ada beri resipi.  Cuma masa itu macam tidak yakin untuk membuatnya.

Beberapa tahun yang lalu, keluar dengan Hafiz.  Kami ke Jurong East.  Ada kedai Kek Royals.  Kedai itu menjual Shepherd's Pie.  Kami beli.  Aduh enaknya!  Tapi mahal sikit lah.

Barulah tahun ini saya, cuba-cuba buka youtube, dan ketemu resipi ini yang ditunjukkan oleh Chef Gordon Ramsay.  Bahan-bahan yang digunakan sudah tentulah ala British.  

Lalu saya mencubanya.  Cubaan pertama ok juga.  Cuma faham-fahamlah, "taste" orang barat ni, tak pedas.  Lidah ni pula, lidah Melayu, tak pedas, memang tak selera.  

Saya ubah sedikit.

Di sini, saya kongsi ya, resipi saya.  :)

Bahan-bahannya:

500 gram daging cincang/kisar.  Cuci dan toskan.  (Saya perah airnya di tapisan.  Kemudian keluarkan dan letak di dalam mangkuk.  Jika kita terus menapisnya, airnya akan berterusan turun, dan kemanisan daging itu hilang.  Oh ya, beli dangin lembu yang baik sikit.  Pilih gerai yang kita betul-betul kenal.  Kalau boleh beli di Cold Storage.  Hmm mahal sikitlah.)

1 labu bawang besar dan 2 atau 3 ulas bawang putih (bahan-bahan ini hendaklah diparut)

3 hingga 5 sudu makan cili boh.  (Masa mula-mula buat pie ini, saya tidak letak cili boh.  Maklumlah nak ikut resipi orang putih.  Cuma bubuh paprika sahaja.  Hmmm. Tak pedas.  Tak sedap.  Bila letak cili boh, baru terbeliak mata!)

1 labu bawang Jepun dimayang.

3 cawan sayur campur (Anda boleh tambah jika suka. Tetapi kalau hendak gunakan sayur lain pun boleh, seperti lobak.  Bolehlah diparut.  Gunakan parut pasak.)

1 sudu makan  Worcestershire Sauce (Saya beli di Mustaffa)

1 sudu makan tomato sos atau tomato puree.  Hati-hati, tomato puree ni, masam.  Jangan bubuh banyak sangat.  Saya lebih suka bubuh tomato sos.

1 cawan stok ayam.  (Kalau tidak ada, kadang-kadang saya gunakan 3 cawan air dan saya bubuh Knorr Chicken Stock.  Tapi kurangkan garam, sebab stok masin sikit).

Daun sup daun bawang. Dimayang halus macam bunga rampai. (Kalau orang barat, mereka gunakan rosemary dan thyme.  Leceh nak cari. Lagi pun saya rasa, bau daun sup dan daun bawang, sungguh enak dan membuka selera)

Garam, gula timbang (gula hitam), serbuk lada hitam dan paprika.


Cara-cara membuatnya:

Panaskan minyak.  Masukkan dua atau tiga helai bawang yang telah dimayang.  Kata arwah ibu ini boleh matikan bau minyak.

Selepas itu masukkan bawang dan bawang putih yang telah diparut.

Masukkan cili boh.  Masukkan sedikit gula. Ini untuk membantu penumisan.  Gula menjadi agen (caramelized) bahan tumisan.

Agak-agak sudah berwarna gelap, masukkan tomato sos/puree.

Teruskan menumis.  Kemudian masukkan daging diikuti oleh Worcestershire Sauce.  Gaul hingga rata.


Masukkan bawang Jepun.

Kemudian masukkan sayur campur dan diikuti oleh stok ayam.  Atau air biasa bersama Knorr Chicken Stock.  


Masak hingga daging empuk.  Jika kurang empuk tambahkan air. 

Bubuh garam, serbuk lada hitam dan serbuk paprika.

Jangan lupa daun sup daun bawang.

Masak hingga airnya kering.  Tetapi macam yang saya katakan, jangan kering sangat.  Lembab-lembab sikit.  Rasa sikit.  Kalau daging dah betul-betul empuk, matikan api.

Pindahkan daging yang telah dimasak ini dalam bekas yang boleh anda gunakan untuk membakar dalam ketuhar.  (Kalau malas nak cuci, bolehlah gunakan yang pakai buang.  Aluminium foil.  Saya suka gunakan ini. Sebab jika hendak bawa ke sekolah, mudah.)

Seterusnya anda harus buat kentangnya pula.


Cara membuat kentang.

500 gram kentang Russet Potato.  Madam Norshidah yang ajar saya gunakan kentang ini.  Mudah empuk. 

2 biji kuning telur.

2 hingga 3 cawan parmesan cheese yang diparut.

Garam dan serbuk lada hitam.

Kupas kulitnya.  Potong empat segi kecil.  Masukkan dalam periuk dengan air biasa.  Setelah semua kentang dimasukkan, barulah hidupkan api. Saya belajar ini, daripada chef di televisyen.  Barulah semuanya empuk dalam masa yang sama.  Bubuh sedikit garam.

Setelah empuk toskan airnya hingga kering.  Bubuh dalam mangkuk dan lumatkan.  Jika anda ada alatnya, mudah sahaja.  Jika tidak ada, gunakan alat melumatkan kentang yang selalu kita gunakan untuk buat bagedel.



Bubuh garam dan serbuk lada hitam.  Gaul rata.

Kemudian bubuh kuning telur, dan gaul lagi.

Akhir sekali, masukkan parmesan cheese.  Ini mesti.  Sebab ia akan menambahkan enak dan menggaringkan bahagian atas apabila kita bakar nanti.

Bubuh kentang di atas daging, dan ratakan.  Pastikan kentang menutupi daging.

Saya suka tabur sedikit oregano dan sedikit cheese.  Buat bau enak.  Kalau tidak ada, taburkan sahaja daun sup.  Jangan banyak sangat.

Bakar dalam ketuhar suhu 180 darjah selsius selama 20 minit atau hingga bahagian atas kening.  Saya suka garingkan sikit. 

Bila kasi Syamil makan, dia mengadu kenyang sangat. Tapi tak berhenti-henti makan.  Hahaha.

Selamat mencuba. 

Wassalam.


Yang ini saya gunakan mangkuk aluminium yang kecil.  Senang dibawa ke sekolah.  
Buat bekalan.




Yang ini, saya gunakan casserole yang besar.  Masa untuk membakarnya, kenalah lama sikit.