Monday 28 May 2012

CUSTARD PUFF

Assalamu'alaikum.

Ah, sekarang anda semua sudah tahu saya ini memang hantu kuih. Kalau nampak sahaja kuih talam, terbeliak mata saya.  Namun, mestilah yang sedap, manis, enak dan lemak.

Ok.  Kali ini bukan hendak bercakap tentang kuih talam.  Tetapi custard puff.

Arwah ibu, memang suka buat kuih di waktu petang, sesi minum teh lah katakan.  Cuma, ibu hanya mahir buat kuih-kuih atau kuih resipi keluarga.

Keluarga saya, atau lebih tepat arwah Mak Tok (ibu kepada ibu saya) suka buat kuih juga.  Tetapi resipi keluarga.  Mak Tok kreatif.  Pandai cipta resipi daripada bahan-bahan di dapur.  Antara kuih atau pencuci mulut, sepert Bubur Blowok, Ondal-Andel, Bubur Keledek, Rugimat., dan beberapa lagi yang masa ini saya lupa namanya.

Oleh yang demikian, arwah ibu agak kurang mahir resipi membuat kuih-kuih barat.  Pertama kali saya makan Custard Puff masa kecil-kecil dahulu.  Kemudian, masa itu, hanya orang bangsa asing sahaja yang banyak menjualnya.  Dalam tahun-tahun 70an.

Kalau tidak salah, lepas itu Mak Ibong, ibu saudara saya, mula belajar.  Tetapi masa itu saya belum ada keyakinan untuk membuatnya.

Pada tahun 1988, saya bekerja di MRT.  Ada seorang rakan berbangsa Cina, kalau tak salah, Doris namanya, ada berikan saya resipi.  Sekali lagi saya kurang yakin.

Apabila saya bekerja di NPB dari tahun 1991 hingga 1994, di Bukit Merah, ada gerai kek, Mayflower, menjual Custard Puff ini.  Intinya bukan cream, tetapi custard yang ada jagung.  Enaknya tak terkata.

Tetapi apabila saya bertugas di tempat lain, sudah tidak dapat makan lagi.  Cuma akhir-akhir ini saya melungsuri internet dan terjumpa sesawang yang memberikan resipi Custard Puff.

Seperti biasa, saya ubah sedikit resipinya mengikut cita rasa saya.  Untuk puffnya, saya ikut.  Namun, intinya, iaitu castardnya, saya tambah jagung.

Di bawah ini saya berikan resipinya.

Bahan-bahan untuk membuat puff:

250 ml air.

150 gm butter unsalted.

125 gm tepung gandum.

4 biji telur yang besar.

Sedikit garam.  (Jangan banyak sangat. Takut puff terlalu masin, tidak enak).


Mula-mula masukkan air, butter dan garam ke dalam periuk atau kuali.  Saya gunakan non-stick.  Didihkan air itu dengan api yang agak besar.  

Apabila butter dan garam telah larut dan air sudah betul-betul mendidih, perlahankan api, kecil sekali.  

Masukkan tepung dan terus kacau menggunakan senduk kayu.  Kacau dan kacau hingga adunan menjadi seperti bola.  Ini lebih kurang dalam 1 minit.  Kemudian, matikan api.

Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah selsius.

Rehatkan dalam 3 minit dan masukkan ke dalam mangkuk pemukul telur.  Jangan gunakan besi untuk memukul telur.  Gunakan paddle, yang digunakan untuk memukul butter dan gula. 

Jika anda gunakan hand egg beater, masukkan ke dalam mangkuk besar pun boleh.

Putarkan egg beater pada had laju sederhada. Masukkan telur satu persatu.  Putar hingga sebati.  Jangan takut jika ada asap sikit, sebab masih panas.

Adunan akan pekat dan melekat pada mangkuk egg beater.  Gunakan sudip plastik dan pastikan semua bersatu.

Jika anda ada piping bag, anda bolehlah masukkan adunan ke dalam piping bag dan bentukkan ikut saiz yang anda suka.

Saya tidak ada piping bag.  Saya gunakan dua sudu dan bentukkan seperti bebola kecil.  Pastikan anda jarakkan semasa meletak di dulang pembakar.  Kerana puff akan naik menggelembung besar.

Bakar selama 20 hingga 30 minit.  Warnya akan kelihatan keemas-emasan.  Jaga, jangan sampai hangus.

Cara-cara membuat Custard Jagung.

3 biji kuning telur (gunakan telur besar)

150 gram gula.  (Boleh kurangkan atau tambah ikut citarasa  anda.  Apa-apa pun jagalah kesihatan).

750 cc atau 3 cawan susu segar.  

20 gram tepung custard.

1 tin atau 1 kotak jagung (whole corn.)  Tos jagung dan buang airnya.

1 tin atau 1 kotak jagung (cream corn)

1/2 suduk kecil esen vanilla.

Cara-cara membuatnya:

Kacau kuning telur dan gula hingga larut.  Masukkan dalam periuk.  Hidupkan api dengan cara sederhana.

Masukkan susu segar sedikit demi sedikit.

Kacau tepung custard dengan sedikit air dan masukkan ke dalam periuk.  Kacau lagi.

Masukkan kedua-dua jenis jagung dan akhir sekali vanilla.  Kacau terus hingga pekat dan mendidih.  Jangan dibiarkan kerana boleh hangus.

Setelah itu, matikan api biarkan sejuk betul-betul. 

Cara memasukkannya mudah.  Saya gunakan beg plastik pembukus makanan.  Saya tolak custard hingga ke bucunya.  Saya gunting sedikit hujungnya.  Besar sikit, sebab kalau kecil sangat, jagung akan tersumbat.

Buat lubang kecil pada puff.  Sumbatkan bucu plastik ke dalam lubang puff, dan picit. Saya suka intinya penuh, orang makan pun puas hati.

Pada pecubaan kedua, saya bawa ke sekolah, Hadi, Syamil, Ariff, Halim, Abu, semua dapat rasa.  Alhamdulillah, mereka tak "complaint".

Saya ada juga bawa ke rumah Cik Ah.  Intan, dan Fatin, makan non-stop.  Hehehe.

Cubalah.  Tidak rugi.  Berbaloi!

Selamat Mencuba. 

Wassalam.